Kemilau Anugerah Penghargaan buat Pengarang Sejati

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Peranan seorang pengarang tidak akan pernah putus hanya setelah dinobatkan sebagai pemenang anugerah penulisan. Malah masyarakat sering ternanti-nanti buah tangan penulisannya yang lebih bermutu daripada sebelumnya. Hal ini dikatakan demikian kerana pengarang itu ialah suara masyarakat. Keadaan masyarakat masa kini yang sarat dengan permasalahan kehidupan sosial, ekonomi, siasah, budaya, agama dan bahasa memerlukan penyelesaian terhadap kemelut tersebut. Oleh itu, masyarakat mengharapkan suara hati dan rintihan mereka ini dapat disampaikan kepada sesiapa sahaja secara naratif yang kreatif agar lebih terkesan di hati nurani pembaca karya tersebut.

Justeru, amat penting bagi seorang pengarang, menjadi dirinya sendiri dalam berkarya tanpa dipengaruhi oleh kemilau anugerah. Biarlah proses pengiktirafan itu dipertanggungjawabkan dan difikirkan oleh kelompok yang memegang amanah masyarakat. Anggap sahajalah pengiktirafan yang diterima itu sebagai bonus sampingan yang tidak terduga dan penghargaan atas penat lelah pengarang yang telah dicurahkan atas lembaran kata-kata.

Pesanan buat pengarang generasi baharu, teruslah berkarya kerana mengarang itu merupakan antara ruang terbaik untuk menzahirkan gelodak di jiwa dan hati nurani orang muda. Sebagai pengarang muda manfaatkanlah waktu yang ada dengan menambahkan ilmu mengarang dan membaiki kemahiran menyusun kata-kata. Ambillah pesanan daripada pengarang-pengarang terdahulu dan jadikan sebagai bekalan dalam kembara bergelar pengarang sejati.

Artikel ini dipetik daripada majalah Tunas Cipta, Januari 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *