Arkitek Landskap Melayu Tradisional

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Persekitaran halaman rumah tradisional amat berkait rapat dengan kepercayaan dan adat masyarakat dahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut kelazimannya kehidupan di kampung masyarakatnya sedaya upaya akan menghiasi halaman rumah dengan pilihan tanaman yang pelbagai jenis dan fungsi. Keadaan ini juga sebenarnya bertitik tolak daripada kehidupan masyarakat desa yang mementingkan nilai murni, termasuklah menghormati jiran tetangga, bekerjasama, bertolak ansur dan tolong-menolong antara satu sama lain.

Pilihan pokok naungan seperti pokok kelapa dan pokok buah-buahan kebiasaannya akan ditanam di ruang hadapan kediaman ataupun di laman tepi kediaman. Lazimnya pokok naungan mempunyai daun yang padat, berwarna-warni, berbunga dan mempunyai bentuk yang menarik. Pokok naungan juga akan berperanan sebagai pokok teduhan, pagar, penahan angin dan penanda sempadan. Dalam hal ini pemilik kediaman akan lebih dihargai oleh masyarakat sekeliling kerana pokok naungan yang ditanamnya akan memberikan manfaat kepada yang memerlukan. Naungan tersebut akan memberikan peluang kepada pengembara untuk menumpang berteduh di bawah naungan pokoknya, manakala unggas pula boleh berehat seketika di dahan pokoknya untuk melepaskan lelah setelah penat terbang ke sana sini mencari rezeki.

Di ruangan belakang rumah pula selalunya akan ditanam dengan pokok herba serta ulam-ulaman dan kebiasaannya pemilihan pokok berdasarkan keperluan untuk masakan dan perubatan. Sumber air juga lazimnya diletakkan di ruang belakang rumah untuk tujuan memasak, mandi-manda dan mencuci. Kedudukan sumber air ini diletakkan di belakang rumah kerana ingin menjaga kehormatan tuan rumah agar aib tuan rumah tidak kelihatan oleh orang luar dan maruahnya akan tersimpan rapi.

Melihat kepada susun atur landskap kediaman tradisional ini, maka akan terserlah kemahiran arkitek tradisi Melayu. Walaupun mereka tidak mendapat pendidikan formal dari mana-mana institusi pengajian tinggi, tetapi hasil daripada pemikiran mereka itu sangat menakjubkan. Malah, guru mereka hanyalah melalui pemerhatian, pengalaman, rasa hati dan kebijakan akal mereka sahaja.

Artikel ini dipetik daripada majalah Tunas Cipta, Februari 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *