Menyembuhkan Jiwa yang Duka Lara

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kejadian seekor ikan paus spesies Sei yang dipercayai spesies paus yang ketiga terbesar di dunia terdampar di muara Sungai Sarang Buaya, Johor. Paus berkenaan seberat 15 tan dan dipercayai telah terpisah daripada kumpulannya semasa berhijrah mencari sumber makanan yang lebih banyak. Oleh sebab telah terpisah daripada “keluarganya” menyebabkan paus berkenaan mengalami kemurungan dan gangguan emosi hingga memberikan tekanan kepadanya dan mendorongnya “membunuh diri”. Demikian kisah seekor paus yang duka lara hingga membawa kebinasaan kepada dirinya sendiri.

Dalam meniti kehidupan ini perasaan duka lara tiada dapat dipisahkan selagi hayat dikandung badan. Walau bagaimanapun, duka lara dapat dikawal dan dirawat agar tidak memudaratkan diri sendiri. Antara rawatan alternatif untuk penyakit duka lara ini termasuklah kata-kata indah lagi puitis. Dalam hal ini, emosi yang sedang murung dan duka lara akan terangsang apabila mendengar dan menghayati bait-bait indah serta puitis sehingga menjadikan mereka lama-kelamaan akan beransur-ansur menerima hakikat. Hal yang demikian ini, akan mendorong insan yang sedang berduka lara membina minda yang positif dan tidak terlalu memikirkan musibah yang menimpa. Minda yang positif ini secara tidak langsung akan berperanan sebagai rawatan penyembuh kepada duka lara.

Justeru, puisi yang indah serta puitis memang acap kali membawa hikmah dan hikmah ini adalah untuk melahirkan insan yang berperadaban, beriman dan bertakwa. Semoga kita akan senantiasa dapat menikmati hikmah yang disampaikan dalam sisipan puisi yang puitis oleh para penyair.

Artikel ini dipetik daripada majalah Tunas Cipta, Mac 2016

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *