Wanita Perkasa Tidak Semestinya Bertubuh Sasa

Oleh Khairul Anum Mohd Ali

Isu gender sering ditonjolkan oleh pengarang dahulu dan kini dalam karya-karya mereka. Namun, kebanyakan karya sastera akan memihak kepada kaum lelaki dengan menjadikan lelaki sebagai pelindung kepada kaum wanita. Kaum wanita pula kebanyakannya hanya menduduki ruang domestik mereka sahaja. Dari segi perwatakan pula, wanita lazimnya dipotretkan dengan sifat lemah, tiada upaya, rapuh dan kerdil hingga meruntun hati yang melihatnya. Manakala, lelaki dilukiskan dengan citra sebagai golongan pemegang kuasa dan penentu hala tuju kehidupan wanita.

Lazimnya pengarang dahulu dan masyarakat tradisional akan mempersetujui gambaran pembahagian gender ini tanpa bantahan. Bidasari dalam Syair Bidasari misalnya ialah wanita yang menderita kerana perlu patuh, sabar, tabah dan pasrah dengan apa yang menimpanya. Dalam syair ini, Bidasari digambarkan telah terpaksa merelakan dirinya dianiaya dan dizalimi oleh Lela Sari, permaisuri sultan. Syair Seratus Siti yang ditulis pada tahun 1711, juga menceritakan watak wanita yang berpegang teguh kepada tatasusila tradisi. Watak puteri dalam Syair Seratus Siti ini hanya diberikan suara untuk meratap, merayu minta disimpati, menyoal nasib dan takdir, namun tidak diberi daya atau ikhtiar untuk meronta atau melepaskan diri daripada kemelut yang dihadapi. Konflik rumah tangga yang dihadapi ialah persaingan puteri tersebut dengan gundik sultan untuk memenangi hati sultan.

Namun, apabila kita melihat kerancakan penerbitan novel-novel popular kini, kebanyakan tema atau isu yang sama masih dikekalkan, iaitu wanita sebagai golongan yang perlu dilindungi oleh kaum lelaki sepanjang masa. Hakikatnya wanita kini sudah berubah. Rata-rata wanita kini mendapat pendidikan malah hingga peringkat tertinggi. Wanita kini lebih berdikari, berfikiran rasional dan matang. Sepatutnya kehebatan, kematangan dan kejayaan wanita ini yang perlu ditonjolkan dalam karya-karya sastera dengan harapan agar jalan kejayaan wanita ini dapat diteladani oleh masyarakat.

Bagi pengarang muda, mereka mampu mengubah paradigma masyarakat dan membantu masyarakat untuk memahami persepsi gender dengan lebih positif. Karya yang bakal dihasilkan harus lebih menterjemahkan senario wanita masa kini yang kuat, bijak, rajin serta tidak tunduk dan pasrah kepada nasib diri. Walau bagaimanapun kebebasan, perubahan dan memecah ruang lingkup tradisi yang dituntut oleh wanita hauslah tidak mengorbankan nilai dan kesantunan yang berpaksikan ajaran agama.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta April 2016

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *