Masyarakat dan Burung Nuri

Oleh: Muhammad Lutfi Ishak

Memang disedari, sesetengah penyair khususnya yang baharu menulis puisi, kadang-kadang mentafsirkan percakapan istimewa itu dengan salah. Ada sesetengahnya hanya bermain kata-kata dan beranggapan hal itu dibenarkan dalam dunia puisi kerana penyair mempunyai lesen puitika. Dengan itu, mereka mempunyai kebebasan dan boleh mengungkapkan apa-apa sahaja, tanpa perlu terikat dengan sebarang ketetapan berbahasa dan nilai. Pada saya, sesiapa sahaja khususnya penulis yang baru belajar menulis puisi, harus lebih insaf sebelum mengucapkan pandangan tersebut. Perkataan “lesen” itu sendiri mengisyaratkan makna yang khusus, iaitu suatu keizinan yang hanya dimiliki oleh para penyair setelah melepasi syarat-syarat tertentu. Sekurang-kurangnya dalam hal ini, sang penyair tersebut telah pun menulis puisi yang bagus dan berkualiti tinggi, memenuhi pensyaratan seorang yang ahli dan sumbangannya diiktiraf oleh pihak yang berwajib. Oleh sebab itu, lesen puitika bukan lagi sekadar suatu lesen yang membenarkan para penyair yang telah layak memilikinya itu untuk berlaku sewenang-wenangnya, tetapi lebih kepada suatu anugerah atau keistimewaan yang perlu pula dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta April 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *