Penulis Skrip Pemula Sesebuah Karya

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Menghasilkan sebuah skrip yang baik untuk tujuan dilakonkan bukanlah suatu kerja mudah. Menukanginya tidak seperti menukangi sebuah cerpen, novel atau puisi. Cerpen atau novel ruang naratifnya cukup luas kerana idea dan pemikiran dapat dilapisi menerusi penceritaan dan dialog yang panjang lebar. Sebaliknya bagi penulisan skrip filem, drama, teater atau dokumentari, penulisnya perlu menulis dengan gaya bahasa yang mudah difahami, ringkas, padat dan tepat. Penulis skrip juga harus memastikan susunan cerita dan babak-babaknya dapat difahami dengan sebaik-baiknya oleh penonton apabila menonton keseluruhan cerita. Dalam hal ini, menjadi tugas penting juga bagi penulis skrip melahirkan ideanya melalui dialog dan nota pengarahan setepat yang mungkin agar dapat difahami oleh pengarah dan tidak menyimpang daripada idea sebenarnya. Oleh itu, pada peringkat awal lagi semasa mengarang skrip penulisnya perlu mewujudkan “komunikasi” bersama-sama pengarah dan penonton supaya jalan cerita serta mesej yang ingin disampaikan dapat dihadam sebaik-baiknya.

Penulisan skrip dapat dianggap sebagai satu genre sastera yang unik. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa elemen seni akan dirangkumkan di dalamnya termasuklah seni lakon, muzik, tarian, seni bina dan busana yang tentulah memerlukan usaha penyelidikan yang bersungguh-sungguh. Tambahan pula semasa penyediaan skrip, penulis skrip akan terikat dengan format penulisan yang khusus dan hal ini tentulah menimbulkan sedikit kesukaran bagi yang baru berjinak-jinak. Kemungkinan faktor inilah yang “mendinginkan” keinginan penulis muda untuk menceburi bidang penulisan skrip.

Namun, kesukaran ini ada jalan keluarnya. Ruang dan peluang yang disediakan oleh beberapa institusi kerajaan dan swasta memberikan kelegaan penulis muda untuk bergiat dalam bidang penulisan skrip. Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa bersedia membimbing penulis muda dengan mengadakan bengkel penulisan skrip. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) juga ada menyediakan kursus penulisan kreatif yang termasuk juga mengajarkan penulisan skrip. Bagi penulis-penulis muda khususnya rebutlah peluang yang ada ini kerana genre penulisan skrip tidak akan lenyap jika ada pewarisnya.

Tentulah kepuasan sebenar bagi seorang penulis skrip adalah apabila karyanya dilakonkan dan dipentaskan di hadapan khalayak serta idea dan pemikirannya dapat difahami. Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah pementasan filem, drama atau teater itu dimulai oleh seorang penulis skrip kerana penulis skriplah sebenarnya asas kepada sesebuah karya.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Mei 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *