Meniti Denai Kematangan Karya

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Detik demi detik yang berlalu, rupa-rupanya sudah 15 tahun Tunas Cipta (TC) menemui pembacanya. Sejak kelahiran pertamanya pada Jun 2001 hingga hari ini, setiap bulan akan diperagakan majalah ini di kedai-kedai buku untuk pasaran. Tempoh 15 tahun itu bukanlah perjalanan yang singkat, malah dengan angka 15 itu sudah boleh menampakkan hasil yang diharapkan. Kelahiran majalah Tunas Cipta sebagai wadah sastera generasi baharu bukanlah bertujuan untuk menyaingi majalah Dewan Sastera yang sudah tidak diragukan wibawanya lagi. Namun, kemunculannya adalah untuk menggilap bakat kepengarangan penulis muda dan menjadi wadah untuk menampung karya mereka. Istimewanya TC ini kerana dalam setiap keluarannya akan diisi dengan ruangan ulasan cerpen dan ulasan sajak. Ulasan dan kritikan cerpen/puisi inilah yang akan membantu penulis muda belajar dan terus belajar serta memperbaik karya mereka dari semasa ke semasa.

Lima belas tahun menyemai benih karya, dengan harapan pohonan yang bakal tumbuh akan merimbun menghasilkan buah yang betul-betul lazat dan menyelerakan. Perumpamaan ini ada benarnya kerana pentas sastera tanah air kita sekarang ini sudah dimeriahkan juga oleh penulis muda termasuklah MF Kencana, Muzaf Ahmad, Fahd Razy, Hafizah Iszahanid, Saza S dan Syafiq Zulakifli. Lebih mengujakan sebahagian daripada karya yang mereka hasilkan mendapat pengiktirafan dalam pelbagai anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan juga anugerah sastera negeri.

Perjalanan 15 tahun telah pun dilalui oleh TC. Jejak yang telah ditinggalkan di belakang tidak perlu dikenang-kenang lagi. Perjalanan TC mesti diteruskan dengan langkah yang penuh semangat, matang dan kritis. Harapan kepada pengkarya generasi muda dan khalayak sastera teruslah menyokong TC kerana kelangsungan hayat majalah ini bergantung pada sambutan anda semua. Pada kesempatan ini sidang editorial merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang dan pembaca TC dari mula diterbitkan hingga kini dan selama-lamanya.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Jun 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *