Penulis Muda yang Kreatif dan Kritis

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Genre kritikan merupakan sebahagian daripada bidang sastera malah sangat penting dalam perkembangan sastera. Kritikan merupakan penyambung atau penyegar bagi menghidupkan karya yang telah dihasilkan. Bagi penulis, kritikan dapat membantu penulis menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang. Selain berkarya, penulis dan karya seharusnya diuji dan teruji dengan kritikan. Melalui kritikan, penulis dan karyanya dapat diberikan penarafan dan pengiktirafan.

Barangkali kita terlalu ghairah bercita-cinta untuk melahirkan pengkritik generasi baharu dalam iklim sastera tanah air. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri sebagai badan persuratan yang berwibawa menganjurkan program berbentuk realiti ala-ala Akedemi Fantasia, iaitu Akademi Sastera sejak tahun 2008 hingga 2012. Namun, dari tahun 2013 hingga kini program tersebut dikenali sebagai Program Pembinaan Bakat Siswa. Program ini bolehlah juga kita banggakan kerana kejayaannya hingga kini telah diadakan sebanyak lapan kali. Namun, graduan-graduan ini ke mana akhirnya? Adakah kita mahu mengulangi sejarah yang sama seperti kebanyakan pelajar akademi-akademi program realiti lain yang hilang lenyap selepas selesai “pengajian”?

Selain kajian atau penyelidikan yang telah peserta Program Pembinaan Bakat Siswa ini hasilkan dengan bantuan fasilitator terpilih, mereka juga diharapkan dapat mengisi ruang yang kosong di pentas sastera tanah air. Sama ada pengisian kreatif melalui karya yang bermutu tinggi mahupun kritikan yang benar-benar kritis dan bersifat akademik. Sekiranya gelombang penulis muda ini giat menjalankan peranan mereka sebagai pengkarya yang kreatif dan kritis, ketandusan pengkritik tanah air akan dapat diatasi. Tentu sahaja kita mahu menyaksikan banyak polemik sastera yang muncul akan diperdebatkan oleh pengkritik mapan dan pengkritik baharu. Hal ini dikatakan demikian untuk membuktikan bahawa masyarakat kita ialah masyarakat yang berilmu tinggi dan bertamadun setanding dengan bangsa-bangsa besar yang lain.

Oleh itu, bagi penulis muda teruslah berkarya dan persiapkanlah diri untuk diuji ketahanan karya dengan kritikan. Dalam waktu yang sama bantulah masyarakat memahami karya sastera melalui kritikan yang kritis dan bertanggungjawab. Tuntasnya, untuk mengenali tamadun dan jati diri bangsa, masyarakat perlu hadam karya sastera kerana pemikiran bangsa ada tersirat di sebalik karya.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Julai 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *