Alternatif Rumah Penerbitan bagi Penulis Muda

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Penerbit indie dikatakan sebagai penerbit yang bergerak sendiri secara bebas tanpa apa-apa sekatan. Indie berasal daripada perkataan Inggeris; independent yang bermaksud bebas. Dalam konteks penerbitan indie, mereka tidak terikat dengan mana-mana pihak lain dari segi dana, konsep, gaya bahasa dan isi kandungan. Di Malaysia, penerbit indie yang tidak pernah ketinggalan disebut ketika membicarakan soal penerbit alternatif termasuklah Buku Fixi, DuBook Press, Sindiket Sol-Jah, Lejen, Selut Press, Neon Terbit, Poket Press, Studio Anai-anai dan Roman Buku. Sepanjang mereka ini beroperasi telah banyak juga mereka menghasilkan produk penerbitan seperti novel dan kumpulan cerpen. Antara buku yang diterbitkan oleh Fixi termasuklah Kelabu, Badut, Bongkar dan Comey. Manakala, Lejen pula tidak ketinggalan menerbitkan buku seperti Cincang: Dendam Terbalas, Kasarnova, Kali Pertama dan Kuih Apam Sekolah Maahad.

Melihat kepada kuantiti produk yang mereka hasilkan boleh kita banggakan kerana secara tidak langsung mereka telah menyumbang saham yang besar dalam industri perbukuan negara. Mungkin akan timbul persoalan, siapakah penulis-penulis mereka yang begitu aktif berkarya? Siapakah pula pembaca-pembaca buku penerbit indie ini? Lazimnya penulis baharu belum mempunyai keyakinan yang maksimum untuk menghantar karya mereka ke penerbit arus perdana. Berbagai-bagai prasangka mungkin akan berlegar-legar dalam benak mereka, mungkin karya ditolak mentah-mentah, tidak mencapai piawai atau terpaksa menunggu terlalu lama. Oleh yang demikian, pilihan yang ada pada penulis baharu ini untuk berkongsi idea penulisannya adalah dengan menuju ke rumah penerbitan indie. Penerbit indie ini dengan berlapang dada menyediakan ruang dan peluang kepada penulis baharu menerbitkan karya mereka di bawah naungan rumah penerbitan indie. Malah penerbit indie menawarkan tempoh masa yang singkat untuk menerbitkan sesebuah buku.

Golongan muda amat bersinonim dengan emosi yang bergelojak dan sentiasa inginkan sesuatu yang baharu, segar dan mencabar. Lazimnya golongan muda akan memilih bahan bacaan yang berbeza daripada kebiasaan yang sedia ada kepada bahan bacaan yang lebih mencabar. Oleh hal yang demikian, buku terbitan penerbit indie menjadi antara pilihan utama mereka kerana kebanyakan buku penerbitan indie tidak terikat dengan mana-mana gaya dan tidak mengulang isu yang sama berkali-kali sesuai dengan sifat indie yang bebas serta tidak terikat.

Kemunculan penerbit indie yang semakin bercambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan patut diraikan kerana keberadaan mereka dalam industri perbukuan negara akan mengimbangi bahan-bahan bacaan untuk masyarakat. Di samping itu juga perkembangan mereka akan memberikan persaingan yang sihat kepada penerbit selain penerbit indie. Walau bagaimanapun, sebelum kita memulakan langkah pertama, perlu disemat dalam sanubari masing-masing bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilunaskan demi pembangunan minda bangsa yang sejahtera.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Ogos 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *