Sastera: Wadah Menyampaikan Kebenaran

Oleh Zahiruddin Zabidi

Antara peristiwa yang mencetuskan tekad yang menjulang untuk saya menjadi seorang penulis adalah kerana seorang manusia yang sangat istimewa, iaitu Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah ataupun nama keramatnya, Hamka. Membaca karya beliau, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang disangka sebagai buku sejarah penentangan rakyat Indonesia terhadap Belanda mengubah persepsi saya kepada novel, sekali gus lapangan penulisan kreatif.

Sebelum saya membaca karya agung Buya Hamka tersebut, saya sangat ragu-ragu kepada novel. Pernah saya menulis di blog dengan mengatakan bahawa mereka yang membaca novel diibaratkan golongan yang membiarkan diri mereka ditipu dengan buaian khayalan kesempurnaan dan keindahan yang dicipta oleh pengarang novel-novel picisan bertema cinta nafsu semata-mata. Mereka ini saya ibaratkan sebagai manusia yang hampa dengan kehidupan sebenar dan hakiki di dunia ini, sehingga terpaksa mencari harapan dalam novel-novel yang mengkhayalkan itu.

Jujurnya pada waktu itu saya tidak tahu bahawa novel dan penulisan kreatif bukan hanya berbentuk novel-novel picisan bertema cinta nafsu semata-mata. Rupa-rupanya di sebalik novel yang saya anggap hanya candu bagi meralitkan pembaca dengan cerita-cerita dan tema picisannya, novel dan penulisan kreatif terlebih dahulu sudah menjadi wadah dan wasilah kepada para ulama dan sarjana Islam bagi menyampaikan dakwah Islam itu sendiri. Hal ini membuatkan saya semakin ghairah ingin tahu.

Saya akhirnya mendapat jawapan mengapa Buya Hamka, seorang ulama yang sangat dihormati dan dikagumi di Nusantara, pengarang kitab Tafsir al-Azhar dan jujukan buku-buku agama dan pemikiran Islam sanggup menulis novel. Tidak lain adalah bagi menyampaikan mesej-mesej dakwah yang jelas impak dalam karya-karya beliau. Tema penentangan adat istiadat Minangkabau yang bertentangan dengan Islam begitu jelas dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Begitu juga dalam novel seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau ke Deli, Di Dalam Lembah Kehidupan dan beberapa lagi novel beliau yang punya mesej yang jelas bersabit dengan dakwah kepada kesedaran Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *