Tragedi Pengkhianatan dalam Medea

Oleh: Mohamed Nazreen Shahul Hamid

Manipulasi juga antara tema penting dalam pementasan teater ini. Medea, Jason dan Raja Creon, semuanya terlibat dalam permainan manipulasi. Jason telah menggunakan Medea pada masa lalu, iaitu menggunakan bantuan Medea untuk membunuh seekor naga. Sejak peristiwa itu, Jason dianggap sebagai seorang wira yang masyhur walaupun hakikatnya dia tidak akan berjaya melaksanakan perkara tersebut tanpa bantuan Medea. Dia kemudiannya cuba memanipulasi keluarga diraja Corinth untuk pengakhiran hidup yang terjamin apabila bersetuju dengan perkahwinan yang dirancang oleh Raja Creon untuknya. Raja Creon pula cuba menjodohkan puterinya dengan Jason kerana kemasyhuran Jason sebagai seorang wira diharap dapat mengharumkan lagi nama kerajaannya. Watak Medea sendiri merupakan penguasa dalam permainan manipulasi ini. Dia berjaya meraih belas kasihan Raja Creon untuk tinggal sehari lagi di Corinth dan memanipulasi peranannya sebagai ibu dengan menggunakan anak-anaknya untuk menyerahkan jubah emas kepada Puteri Glauce yang akhirnya memakan diri Raja Creon dan puterinya. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tewas dalam permainan manipulasi ini. Keuntungan yang diharapkan dari tindakan manipulasi tersebut tidak diperoleh sebaliknya bala yang menimpa mereka.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Ogos 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *