Mengenal Diri Melalui Teater

Oleh: Khairul Anum Modh Ali

Menceburi bidang teater bukanlah perkara mudah semudah memetik jari. Namun, menceburi bidang ini merupakan cabaran kepada golongan muda. Rata-rata anak muda tidak memilih bidang teater kerana bidang ini mempunyai pakejnya yang tersendiri. Bukan sahaja bakat yang dinilai, bahkan minat yang mendalam juga amat dititikberatkan. Proses pembelajarannya juga adalah sangat perit hingga “menyeksa” diri dan memenatkan fizikal, serta mental.

Teater merupakan bidang yang mengintegrasikan pelbagai cabang seni termasuklah tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak. Seni teater juga menggabungkan unsur-unsur audio, visual dan kinestetik (gerak) yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan, serta seni rupa.

Bagi sesetengah penggiat teater, bidang ini amat menyeronokkan kerana individu terbabit berpeluang menjadi orang lain. Hal ini berlaku kerana watak yang dilakonkan di atas pentas barangkali akan jauh berbeza daripada personaliti pelakon itu sendiri. Dalam teknik latihan teater, seseorang pelakon itu akan diajar dan dilatih mempersiapkan diri untuk masuk dalam diri watak yang dibawanya itu. malah pelakon perlu melengkapkan diri dengan segala emosi, perlakuan, fizikal, mental dan semua yang berkaitan dengan watak itu secara penuh jujur.

Pendidikan teater mampu memberikan nilai tambah kepada generasi muda. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui aktiviti teater akan melahirkan individu yang tajam sensitivitinya serta akan meningkatkan kefahaman dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya mereka. Malah teater juga akan menguatkan semangat jati diri bangsa, mengembangkan daya imaginasi, meningkatkan kreativiti, merangsang tumpuan, menambah keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi. Justeru, dari sisi positifnya teater mampu membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani.

Golongan muda sebagai pemangkin kemajuan negara pada masa hadapan memerlukan nilai tambah ini secara tekal. Paling utama untuk memajukan negara dan bangsa, kepekaan, sensitiviti, imaginasi, kreativiti serta kemahiran berkomunikasi diperlukan agar akhirnya akan terbela negara dan bangsa.

Selamat Hari Raya Aidiladha dan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2016.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *