Menjinakkan Emosi

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora, pantai mana yang tidak dipukul ombak. Begitulah perumpamaan kehidupan ini. setiap perjalanan hidup insan tidak akan dapat lari daripada mengalami pelbagai peristiwa hidup. Justeru, kerencaman peristiwa itu akan melahirkan pelbagai warna-warni emosi, ada suka dan duka, sayang dan benci, belas kasihan dan tidak terkecuali amarah. Namun, segala emosi rasa ini ada batasan dan aturannya. Perasaan benci yang menggelodak dalam jiwa, namun itu bukan lesen untuk menghina dan mencemuh. Naluri kasih sayang yang mewangi dalam sanubari, namun sebagai peringatan kasih sayang itu milik mutlak Yang Maha Pengasih lagi Penyayang yang akan ditarik pada bila-bila masa.

Atas kebijaksanaan pengarang, emosinya dapat dikongsi rasa bersama-sama dengan pembaca. Rasa hiba dan pilu yang dialami oleh pengarang dapat dicerna melalui diksi dalam karya-karyanya. Perasaan kasih sayang pengarang tersirat malu di sebalik setiap baris nukilannya. Bagi pembaca yang menghadam karyanya akan turut merasai perasaan suka dan pilu pengarang. Hal yang demikian ini akan merapatkan jurang antara pengarang dengan pembaca sekali gus pembaca memahami pemikiran mesej pengarang.

Snow Country, Thousand Cranes, The Sound of the Mountain dan House of Sleeping Beauties adalah antara novel Yasunari Kawabata, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan (1968) dari Jepun. Watak-watak yang dilukiskan oleh Kawabata kebanyakannya perihal orang yang berada dalam keadaan terperangkap dalam ruang gelap hingga buntu mencari jalan keluar hanya menantikan saat-saat kematian menjemput. Kesan yang dapat disimpulkan melalui kebanyakan tulisan Kawabata ialah hidupnya penuh dengan duka lara. Duka lara Kawabata itu setelah diselidiki bertitik tolak daripada sejarah pahit perkembangan psikologinya yang berdepan dengan kematian ibu bapa serta datuknya sejak masih kecil lagi. Begitu juga peristiwa gempa bumi besar yang melanda Kanto pada tahun 1923 hingga menggoncang Tokyo dan menimbulkan kegelisahan bagi rakyat Jepun pada waktu itu. Kedua-dua peristiwa duka ini telah mempengaruhi kuat psikologi dan daya imaginasi Kawabata. Sehingga dalam dunia cerekanya, Kawabata tidak mensia-siakan perasaan duka citanya, malah Kawabata amat sedar bahawa kehidupannya sentiasa diburu oleh kematian. Bagi pembaca karya Kawabata, duka laranya dapat dirasai bersama-sama setelah mengetahui sejarah hidupnya.

Demikianlah uniknya sastera kerana emosi boleh menyerap masuk ke dalam patah-patah kata puitis dari pengarang. Takjubnya pula emosi itu dapat dipindahkan dan dirasai bersama-sama oleh pembaca karya.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *