Filem Kita: Wajah Komersial atau Jati Diri

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Implikasi komersial memang tidak dapat dipisahkan apabila sesebuah produksi filem merancang untuk membuat sebuah filem. Walau bagaimanapun, dalam filem, pelbagai unsur dapat diangkat untuk menjadikan filem itu akan dikenang sampai bila-bila. Dalam hal ini seorang pengarah filem harus membuat pertimbangan yang seadil-adilnya sama ada memenuhi kehendak penonton semata-mata atau membantu mendidik masyarakat dengan nilai dan ilmu yang tinggi.

Tidak dapat dinafikan pengaruh filem dalam pembentukan masyarakat kerana kesan visual itu kadang-kadang lebih kuat daripada medium yang lain. Kebiasaannya dalam sesebuah filem unsur-unsur seperti jati diri ada diselitkan tidak kira sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagi generasi muda yang hidup dalam dunia hedonisme, mereka mungkin tersasar daripada nilai yang murni, justeru filem berperanan mengembalikan pemikiran mereka mengutamakan nilai yang murni.

Karya sastera kita memang kaya dengan unsur-unsur pengajaran, nilai, budaya, ilmu, pemikiran dan falsafah. Bahan sastera ini boleh sahaja dijadikan medium perantara bagi merapatkan hubungan antara orang filem dengan penulis. Dalam sejarah dunia perfileman tanah air, telah terbukti banyak karya sastera dan unsur budaya diangkat untuk menunjangi cerita sesebuah filem. Antara filem yang telah masuk panggung termasuklah filem Kaki Bakar yang mengambil sumber daripada cerpen karangan William Faulkner “Barn Burning”. Selain itu, filem Wayang dan Bunohan pula bermurah hati menghidangkan kepada penonton, budaya dan tradisi masyarakat yang menyanjung warisan bangsa, iaitu persembahan wayang kulit.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa gambaran wajah kebudayaan kita dan usaha memperkukuh jati diri dapat diterjemahkan dalam filem kita. Walau bagaimanapun, terserah kepada produksi filem sama ada memilih nilai komersial atau nilai jati diri.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Disember 2016.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *