Platform (Siri 16)

Sambungan daripada siri 15.

Oleh Aminah Mokhtar

Rasa bersalah melapah-lapah hati Orkid. Rajuk Tuan Jauhar bagai tidak terpujuk. Hatinya mula goyang. Dia benar-benar rasa terkepung, antara cita-citanya dengan cita-cita Tuan Jauhar. Terkepung dan tidak dapat membebaskan diri, ke mana-mana lagi. Dia semakin serba salah. Impiannya besar. Melebihi impian Tuan Jauhar untuk membawa Serasa Indah Sdn. Bhd. ke persada dunia. Perlukah diterangkan sejelas-jelasnya impian itu? Atau, apakah Tuan Jauhar akan mengerti dan bersetuju?

Orkid semakin bingung. Semakin serba salah.

Mahu sahaja dia bawa berbincang dengan Anas. Tetapi rancangan besar ini juga melibatkan Anas. Apakah Anas akan setuju?

Anas?

Ah, Anas hanya pak turut. Turut apa-apa sahaja kehendak Tuan Jauhar dan Puan Narawastu. Anas, anak yang taat, sanggup berkorban apa-apa sahaja. Taat yang tidak ada pendirian. Taat yang sanggup dan sampai hati melihat orang lain terkorban. Tidak, dia tidak mahu sezalim Anas. Anak baik yang zalim kepada diri sendiri.

Orkid menarik nafas panjang.

Mengenang Anas, goyang di hati Orkid, jadi kukuh semula. Hatinya yang berbelah bagi tadi mula berpihak kepada cita-cita sendiri. Cita-cita untuk memberikan keadilan kepada semua. Ya Allah Yang Maha Tahu, panjangkanlah usia walid, izinkanlah ya Allah walid menghargai apa-apa yang hamba-Mu ini lakukan. Ya Allah Yang Maha Pengasih, limpahkanlah rahmat-Mu dalam hati walid. Hamba-Mu yang lemah ini amat mengharapkan keadilan walid, ya Allah.

Hati Orkid semakin sebak. Dia menangis teresak-esak.

Ya Allah Yang Maha Tahu, perlukah hamba-Mu yang bergantung seluruh hati dan fikiran kepada reda-Mu, menerangkan segala-galanya kepada walid?

Luluh hati Orkid mengenangkan semuanya. Hatinya sebak. Ditahannya tangis. Dikesat air mata. Dia melihat sup ayam berempah yang sedang menggelegak di atas dapur. Sup itu, yang rempah ratusnya, jintan manisnya, jintan putihnya, dia yang saring sendiri, kemudian ditumbuk dengan bawang putih dan bawang merah dan dipecahkan halia. Ditumis dengan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pala dan selawat atas nabi. Dulu, setiap kali dihidangkan sup itu, Tuan Jauhar akan kucup dahinya dan memandangnya dengan penuh kasih sayang dan berkata, “Terima kasih anak walid yang manis, masakkan walid sup ayam yang paling sedap dalam dunia ini.” Ah, itu dulu, ketika Tuan Jauhar tidak jauh hati dengannya.

Kini, semuanya tinggal kenangan.

Sesedap mana pun sup ayam, laksa johor, bubur lambuk dan nasi ayam yang dimasak, setiap kali dibawa dan disuapkan ke mulut Tuan Jauhar, Tuan Jauhar menolak dengan muka marah.

___

Cerita ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Ikuti siri 17 pada bulan hadapan.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *