Peristiwa yang Telah Berlalu, Guru untuk Zaman

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Kata orang zaman persekolahan ialah zaman yang indah dan seronok untuk dikenang. Sudah tentu seronok dikenang itu berdasarkan pahit dan manis yang telah dilalui. Saya teringat semasa zaman persekolahan saya dahulu, mata pelajaran yang sering menyesakkan nafas dan merunsingkan fikiran saya ialah Sejarah sehingga saya menyimpulkan mengapa mesti ada mata pelajaran Sejarah? Alangkah baik sekiranya tiada mata pelajaran Sejarah dalam sukatan pelajaran di dalam kelas. Tanggapan sebegini timbul kerana bagi saya sukarnya mengingati fakta-fakta sejarah dari segi tarikh, tokoh, tempat dan peristiwanya. Demikianlah tanggapan yang dibuat kerana kurang kematangan berfikir pada usia muda ketika itu. Namun, sebenarnya fakta sejarah akan lebih mudah dihadamkan apabila dibentangkan dalam situasi santai dan menyeronokkan.

Apabila kita menyusuri sejarah perkembangan novel di Malaysia, zaman kegemilangannya dikatakan berlaku pada tahun 1960-an. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa alasan termasuklah usaha pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penubuhan pelbagai institusi kesusasteraan, peningkatan pendidikan pengarang, bertambahnya penaung kesusasteraan serta timbulnya gejala baharu dalam masyarakat dan negara yang baharu merdeka. Dalam era 1960-an ini pelbagai tema dan persoalan semakin berani diungkapkan oleh pengarang hingga hal-hal yang berkait dengan senario sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya tanah air. Hingga lahirlah ketika itu, novel-novel yang bercorak kemasyarakatan, politik dan sejarah. Dalam konteks tanah air, novel sejarah dikatakan amat berkait rapat dengan novel politik kerana segala rentetan peristiwa yang berlaku ke arah mencapai kemerdekaan kekal menjadi sejarah yang tidak mungkin dipadamkan. Antara pengarang novel sejarah yang tersohor termasuklah pengarang veteran, Harun Aminurrashid. Novelnya Gugur di Lembah Kinabalu (1965) dikatakan novel sejarah yang paling berjaya dalam dekat 1960-an.

Sesebuah karya dianggap sebagai novel sejarah apabila pengarang menggarap ceritanya dengan menampilkan watak rekaan berasaskan tokoh-tokoh tertentu yang ternama dan tercatat dalam sejarah bangsa dan tanah air pada zaman lampau. Atas kebijaksanaan pengarang, fakta sejarah tersebut akan diolah oleh pengarang dengan adunan imaginasi dan bahasa sastera yang kreatif. Meskipun karya tersebut dilahirkan dalam bentuk cereka, namun fakta-fakta sejarah sama ada yang dijelmakan untuk latar, waktu dan latar belakang watak-watak, selalunya dipelihara dan disesuaikan menurut cerita pengarang.

Berdasarkan perkembangan dalam dunia pendidikan tanah air, mata pelajaran Sejarah telah dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013 di samping mata pelajaran Bahasa Melayu. Keputusan ini berkekalan hingga sekarang. Syarat wajib lulus ini wajar dilaksanakan sebagai dorongan dan desakan agar masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini lebih memahami sejarah pembinaan negara, kontrak sosial, asal usul dan kedudukan institusi kesultanan, perlembagaan, dan sebagainya.

Penganjuran sayembara penulisan novel sejarah dilihat dapat menampung kelompangan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sejarah tanah air khususnya. Sejarah akan kekal menjadi sumber rujukan untuk melahirkan negara bangsa yang sedar akan asal usul dan akar umbi tamadun bangsa. Sejarah ialah guru untuk zaman.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Januari 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *