Langit dan Bumi

Oleh Nada Haifaa Remlle

Terpampang tajuk “Pulau Kelapa RM2.5 Juta” di muka hadapan akhbar harian pada hari itu. Di bawahnya diselitkan juga gambar pelukis, Sany memegang replika cek yang tertera RM2.5 juta. Di sebelahnya, Datuk Seri Khoo, jutawan automobil bersalaman dengannya. Tersenyum lebar Sany menerima replika cek berkenaan bersama-sama dengan cek kecil yang bernilai sama dengan yang tercetak. Lebar lagi sengihan Datuk Seri Khoo apabila berjaya memiliki hasil lukisan Sany.

Pulau Kelapa merupakan karya ketiga dalam siri “Langit dan Bumi” nukilan pelukis tersohor negara, Sany. Lukisan pertamanya bertajuk Hujan Dinihari telah pun menjadi hak Sultan Brunei dengan nilainya pada waktu itu berjumlah RM2.1 juta. Lukisan Hutan Gunung pula cantik dipamerkan di lobi Hotel Hilton setelah dijual dengan harga RM2.3 juta tahun lalu.

Bukan mudah untuk mendapatkan siri lukisan “Langit dan Bumi” Sany. Ramai orang berebut-rebut menawarkan harga yang tinggi untuk membelinya. Tetapi untuk siri yang ketiga ini, tuah memihak kepada Datuk Seri Khoo dengan alasan, Sany mahu rakyat Malaysia yang mencintai alam dan tahu menghargai hasil seni menjadi tuan punya lukisan tersebut.

Zahirul tersenyum sambil menggeleng setelah habis membaca laporan tersebut. Surat khabar itu diletakkan di atas pangkuan. Sany sedang berbaring di atas sofa di hadapannya. Sebelah tangannya diletakkan di atas dahi manakala tangan yang satu lagi di atas perut, kedua-dua matanya pula bertutup rapat.

“Bagusnya jadi jutawan, ya? Tak perlu susah-susah kerja. Tidur pun boleh dapat duit,” usik Zahirul.

“Tak tidur pun, bosan sangat tak ada benda yang nak dibuat,” balas Sany tanpa bergerak sedikit pun.

“Aik? Dengar pula? Ingatkan tidur?”

Sany mencelikkan matanya, bangkit dari perbaringan, duduk lalu menyandarkan kepala dan belakang badannya ke sofa. Mata ditutupkan lagi.

“Bosan?”

“Em….” Sany menggumam pendek sambil memicit dahinya. “Ingat ada bendalah yang aku nak buat bila datang sini. Kalau aku tahu kau duduk goyang kaki, baik tidur di rumah.”

Zahirul tergelak. “Aku ni bukan macam kau, boleh tidur di mana-mana, bila-bila masa. Orang yang kerja pejabat macam aku masa inilah nak rehat.”

Sany mencebik. “Terlalu rehat pun tak baik untuk kesihatan, badan boleh lemah.”

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *