Setelah Bencana

Oleh Ruhaini Matdarin

Berpuluh-puluh tahun Saya mengagumi Jepun, kemudian semalam ia dilanda tsunami. Hal yang sama berlaku kepada guru Saya. Persepsi Saya terhadap sesuatu yang hebat seperti teknologi dan kemajuan Jepun, juga kesihatan luar biasa seperti yang dimiliki oleh guru Saya itu, bagaikan cahaya yang menguasai gelap pada zaman jahiliah. Apabila bencana berlaku, Saya menjadi kelu dan dibunuh oleh kata-kata. Semalam salah seorang anak perempuannya menghubungi Saya, cuba meminta Saya datang menziarahi ibunya di hospital kerana katanya Saya antara pelajar kesukaan ibunya itu sepanjang masa. Dia berada di hospital? Apakah Saya salah dengar?

Siaran berita di televisyen melaporkan satu gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter telah melanda timur laut Jepun, yang mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1000 orang terbunuh. Ukuran kemusnahan itu nyaris tepat menggambarkan tahap kesihatan guru Saya yang sihat selama hampir 140 bulan tanpa jatuh sakit, dengan kadar gula tidak pernah kurang dari 8.9 dalam tubuhnya, dengan tekanan darah 120/80 pada hampir setiap masa, tidur tidak kurang daripada lapan jam sehari.

Dia menjaga kesihatannya dengan rapi, sentiasa mengelak pengambilan kolesterol dalam diet, mengatakan tidak kepada gula dan garam, bahkan meminimumkan kesan radiasi dalam kehidupan seharian. Saya menganggapnya sebagai seorang yang paling mahir menjaga kesihatan, kemudian semalam pada hari yang sama Jepun ditimpa malapetaka, Saya mendapat khabar doktor memberinya preskripsi untuk rawatan anti kebimbangan. Akhirnya, dia jatuh sakit.

Saya pun menjadi hairan bagaimana dia boleh jatuh sakit sehingga perlu dimasukkan ke wad hospital. Jika Saya perlu mengingat kembali segala pesannya tentang kesihatan, dia menyarankan agar semua orang mendisiplinkan diri mandi pagi sebelum subuh sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Ternyata benar air sejuk yang meresap ke dalam badan telah mengurangkan lemak terkumpul pada tubuh Saya (sedikit). Dia juga memberitahu penemuan saintis tentang beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah, hanya akan disaliri darah sewaktu kita bersujud ketika solat. Ternyata benar ia telah menyelesaikan ketagihan (sedikit) Saya terhadap parasetamol akibat penyakit pening kepala yang saya alami selama bertahun-tahun.

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *