Menukang Sastera Kanak-kanak Perlu Kesabaran

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

 

Kanak-kanak ibarat kain putih, ibu bapanya yang bertanggungjawab mencorakkan kain putih tersebut. Hal ini juga selaras dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya. Mafhum daripada sabda Nabi SAW tersebut membawa pengertian bahawa kanak-kanak sifatnya menurut atau meniru tingkah laku orang dewasa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Peribadi anak kecil dapat dibentuk sejak dari kecil lagi. Oleh sebab kanak-kanak pada hari ini bakal menjadi pemimpin masa hadapan, maka langkah menyediakan modal insan berkualiti perlu disusun dan diatur dengan rapi dari sekarang.

 

Dalam hal ini, sastera kanak-kanak merupakan wadah penting dalam perkembangan sahsiah kanak-kanak dan banyak membantu mereka membina peribadi yang unggul. Kesusasteraan kanak-kanak lazimnya mengandungi unsur ilustrasi secara maksimum terhadap teks, adegan suspens, kehebatan, kekuatan kepintaran dan keperwiraan watak, mampu memberikan kesan kepada emosi kanak-kanak. Kewujudan unsur-unsur sastera dalam cerita kanak-kanak akan menggalakkan kanak-kanak berfikir secara kreatif dan merangsang minda mereka. Corak emosi yang mereka alami ini akan menjadi mangkin pembinaan peribadi hingga dewasa. Oleh itu, menjadi satu keperluan mendesak untuk kita menyediakan bahan-bahan bacaan awal yang berkualiti untuk dihadam oleh kanak-kanak.

 

Penulisan buku sastera kanak-kanak perlu digalakkan secara serius kerana mampu membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran globalisasi dalam bentuk literasi dan hiburan yang menyeronokkan. Di samping itu juga, sastera kanak-kanak berpotensi merangsang imaginasi, mampu membantu mengenal dan memahami diri sendiri, memahami bahasa secara semula jadi, membantu mendapatkan maklumat dan dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak.

 

Sebagai salah satu genre sastera, drama kanak-kanak juga mampu mendidik kanak-kanak tentang pelbagai kemahiran hidup termasuklah bersosial, bertutur serta bertindak. Kemahiran ini penting dalam proses membentuk pertumbuhan dan perkembangan fizikal, mental dan  emosi kanak-kanak untuk menghadapi masa akan datang. Selain itu, drama juga menggalakkan kanak-kanak berimaginasi dan bertindak secara spontan melalui aksi mereka.

 

Usaha yang dilakukan oleh Les Copaque Production menerbitkan drama bersiri Upin dan Ipin serta Pada Zaman Dahulu amat dipuji. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua drama ini amat diminati bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga meminati siri ini. Siri Upin dan Ipin banyak membawa kisah antaranya termasuklah kehidupan kanak-kanak di desa, sesi persekolahan, bulan Ramadan, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Manakala, Pada Zaman Dahulu pula mengangkat cerita-cerita rakyat seperti Sang Kancil dengan Buaya, Sang Kancil dengan Gergasi dan Langit Hendak Runtuh. Kedua-dua drama ini amat memberikan kesan dalam kehidupan kanak-kanak dan menjadi teladan kepada mereka.

 

Pepatah Melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama-sama mendidik anak-anak bangsa menjadi insan yang unggul kukuh jati dirinya. Bagi penulis muda ceburilah bidang sastera kanak-kanak ini walau sesukar mana pun, walau seribu kepayahan terpaksa ditempuhi hingga terpaksa “merendahkan” diri menjadi seperti anak kecil.

 

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 2 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *