Pantun Cerminan Minda Melayu

Oleh: Khairul Anum Mohd Ali

Sudah berabad-abad lamanya masyarakat Melayu tradisi menjadikan pantun sebagai wadah ucapan penting mereka. Tradisi berpantun ini tidak terhad kepada masyarakat Melayu di Malaysia sahaja, malah pantun juga tidak asing bagi masyarakat Melayu di Indonesia, Brunei dan Singapura. Pantun juga dikatakan sebagai satu ciptaan asli orang Melayu dan bukan hasil daripada saduran dan penyesuaian puisi-puisi bangsa lain.

Masyarakat Melayu-Nusantara menjalani kehidupan dalam suatu dunia yang dipengaruhi oleh kedudukan tropikanya yang berhampiran dengan garisan khatulistiwa. Lazimnya kawasan ini akan mengalami cuaca panas dan hujan sepanjang tahun. Dengan kelebihan ciri-ciri iklim khatulistiwa ini menjadikan bumi dan hutan Nusantara ini subur dengan pelbagai spesies flora dan fauna. Tanah-tanihnya berbagai-bagai jenis, sebahagiannya subur dan sebahagiannya kontang. Lautnya selalu bergelombang, sungai mengalir melewati kampung dan kadang-kadang mengalir bersama-sama air dan sungai itu. Sebagai penghuni kampung, masyarakat Melayu hidup juga di samping hidupan lain seperti haiwan ternakan, burung dan unggas, ikan, pohon, rumput dan rumpai air. Maka, mereka harus berubah menjadi manusia pengumpul maklumat tentang persekitarannya dan maklumat ini digunakan untuk meneruskan kehidupan. Akhirnya semua elemen persekitaran hidup masyarakat Melayu ini amat dikenali serta cukup dekat dan akrab dengan mereka sendiri.

Pantun ialah puisi Melayu tradisional yang paling popular dan sering diperkatakan. Bentuk pantun dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama memanfaatkan unsur-unsur alam dan secara tidak langsung memberi gambaran atau bayangan bahagian kedua. Bahagian kedua pula mewakili maksud, falsafah atau pemikiran. Hingga akhirnya kedua-duanya saling melengkapi bentuk ini, tetapi kenyataannya yang satu bergantung pada yang satu lagi.

Oleh sebab alam Nusantara ini kaya dengan flora dan fauna, maka alam telah mengajar manusia tentang kenyataan alam dan juga kenyataan manusia. Apa-apa yang berlaku kepada daun dan rumput, paya dan sungai, kerang dan karang, burung dan unggas, bulan dan bintang, dianggap sebagai pengajaran yang boleh dipindahkan maknanya kepada dunia dan nasib manusia. Mengambil pengajaran daripada pantun lama yang tidak asing lagi bagi kita berkenaan buah pisang emas:

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Masyarakat Melayu tradisi merupakan warga maritim yang akrab dengan laut dan kapal. Oleh itu, mabuk lauk tidak dapat dielakkan bagi pelayar yang tidak kuat berdepan dengan ombak laut. Bagi mengelakkan mabuk laut ini, masyarakat tradisi menyarankan agar pelayar memakan buah pisang emas sebagai penawar mabuk laut. Ajaibnya pisang emas ini tidak masak serentak, tetapi masaknya sebiji demi sebiji. Falsafah daripada pantun klasik ini dapat difahami melalui gambaran bahawa dalam sesikat atau setandan pisang yang masak atau yang boleh dimakan hanya sebiji demi sebiji. Keadaan ini dapat diumpamakan untuk mendidik anak yang soleh dan solehah amatlah sukar. Dalam kalangan anak yang ramai mungkin satu atau dua sahaja yang berjaya menjadi anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan ibu dan bapanya di alam kubur. Demikianlah cantik dan indahnya pantun Melayu lama ini, di samping menyalurkan maksud dibekalkan juga dengan petua untuk kelangsungan hidup.

Pelbagai usaha harus kita jalankan agar pantun kekal hidup dalam medium yang lain juga untuk membolehkannya diminati oleh generasi baharu dengan mengekalkan nilai keindahannya. Mungkin suatu hari nanti, filem tempatan atau lagu tempatan akan dipenuhi dengan pantun-pantun yang indah kerana kedua-dua medium ini amat kuat pengaruhnya terhadap masyarakat. Lebih penting lagi kita harus meyakinkan generasi muda bahawa pantun yang dikumpulkan oleh pihak tertentu, bukan sekadar rekod dan dokumentasi semata-mata, tetapi sebuah warisan hidup yang harus dipertahankan. Alasan cukup jelas kerana di situlah terpancarnya minda Melayu.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 3 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *