Kalender Seorang Novelis

Oleh: Wan Nor Azriq

2012. Salah satu babak penting dalam novel Boneka Rusia Guido ialah apabila Hogarth dan Chairil memandu kereta ke hujung dunia. Ketika menulisnya, saya teringat filem The Thirteenth Floor. Craig Bierko sedang memandu merentas gurun dan keretanya terhenti di hadapan gaung berjaring grid litar komputer. Dia telah sampai ke hujung dunia yang diciptakan untuknya. Masa itu saya juga dipengaruhi oleh tulisan Cesar Aira dan Philip Roth. Sebagai novel pertama, saya hanya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi. Saya ingin menulis sehingga ke hujung dunia.

1994. Saya menyertai pertandingan bercerita peringkat sekolah. Emak memilih kisah “Penggembala Kambing dan Serigala”. Disebabkan bosan bekerja, seorang penggembala kambing gemar menyebarkan khabar angin palsu kepada penduduk kampung bahawa ada serigala sedang menerkam kambing ternakannya. Lama-kelamaan penduduk kampung tidak lagi mempercayai kata-kata si penggembala kambing. Pada suatu hari, apabila serigala memang muncul memburu kambing, laungan si penggembala langsung tidak dihiraukan. Saya menang tempat ketiga.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 3 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *