Dunia Siber Dunia Tanpa Sempadan

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Satu perkembangan yang cukup menarik telah berlaku dalam sejarah kesusasteraan tanah air kini. Perkembangan ini bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat atau dunia tanpa sempadan,serta dikenali juga sebagai hubungan tanpa batasan ruang dan masa. Perkembangan yang dimaksudkan ialah kemunculan sastera siber yang disambut baik oleh peminat-peminat sastera. Ruang siber merupakan salah satu daripada medium komunikasi teknologi maklumat yang mampu meletakkan dunia ini di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara.

Perubahan gaya komunikasi ini menjadi sangat penting dalam pembinaan tamadun manusia sehingga mewujudkan satu budaya yang dikenali sebagai budaya digital. Budaya digital ialah budaya yang dicetuskan oleh masyarakat yang didominasi oleh komunikasi dan media digital. Budaya digital tidak wujud bersendirian, tetapi muncul bersama-sama dengan budaya yang lain. Walau bagaimanapun, oleh sebab budaya digital ini begitu kuat gelombangnya, maka ia telah meresap masuk ke dalam semua budaya. Tidak ada satu budaya di dunia ini yang tidak terlepas daripada pengaruh budaya digital. Oleh sebab kemunculan dunia digital ini berlaku dalam tamadun manusia sejagat, maka kewujudannya tidak dinafikan sedikit banyak memberikan kesan positif dan negatif dalam dunia sastera tanah air.

Dunia digital ini telah memberi ruang untuk sastera digital atau sastera siber berkembang dengan pesat. Sastera siber dapat diertikan sebagai karya sastera yang merangkumi bentuk karya moden yang mengintegrasikan ciri-ciri multimedia termasuk teks, warna, grafik, animasi dan bunyi. Sifatnya pula mempunyai unsur interaktif, yakni mampu memberikan tindak balas terhadap rangsangan pembaca serta dikomposisikan dengan memanfaatkan sistem internet.

Sungguhpun ada pendapat yang menganggap kemunculan sastera siber ini “membunuh” sastera bercetak, kerana sifatnya yang “amat segera” disebarkan tanpa ada saringan, namun dari sudut positifnya kehadiran sastera siber akan mencorakkan semula dunia pengajaran dan pembelajaran sastera. Hal ini dikatakan demikian kerana pengajaran dan pembelajaran sastera boleh memanfaatkan ciri-ciri multimedia yang sedia ada dalam perisian internet. Unsur-unsur seperti bunyi-bunyian, animasi, grafik dan video dapat dimasukkan dalam sajak dan cerpen yang dipelajari atau yang dihasilkan.

Walau apa-apa pun yang berlaku dalam dunia sastera siber, baik kesan positif ataupun negatifnya, diharapkan kehadiran sastera siber tidak akan menghilangkan ciri-ciri keindahan yang ada pada sesuatu karya sama ada dari segi bentuk dan maknanya. Sekiranya penerimaan sastera siber ini diterima secara total tanpa menilai buruk baiknya, maka dikhuatiri kemunculan karya sastera siber akan hilang definisi susastera.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 4 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *