Karya Sastera Perakam Keperihalan Kemanusiaan

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Menjadi penulis bukan sekadar mengetik papan kekunci jika zaman sekarang ini, atau jika zaman dahulu pula bukan sekadar menarikan pena di atas kertas. Namun, sebenarnya peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh penulis amatlah besar, iaitu untuk mendidik masyarakat dan memandaikan bangsa. Karya sastera tidak dapat dinafikan kewujudannya pasti berlandaskan keperihalan kemanusiaan. Pertamanya karya dicipta oleh pengarang, dan pengarang tentulah yang berakal dan yang berakal tentulah manusia. Kedua, karya yang dihasilkan itu pun segala-galanya tentang manusia serta liku-likunya dan perit getirnya. Seterusnya pembaca karya sastera pula tentulah yang boleh membaca, dan yang boleh membaca tentulah yang berakal dan yang berakal tentulah manusia. Manusia tidak mungkin dapat hidup bersendirian melainkan dalam komuniti tertentu hingga dapat membentuk sebuah masyarakat. Oleh sebab, ketiga-tiga elemen ini berkaitan dengan manusia dan kemanusiaan maka, karya sastera menjadi cerminan masyarakat dan perakam keperihalan kemanusiaan.
Sejarah membuktikan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah telah menghasilkan karya autobiografinya termasuklah Syair Singapura Terbakar (1830), Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Hikayat Abdullah (1849), Dewa-ul-Kulub (1883) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920). Bermula dengan usaha Munsyi Abdullah ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam tema, plot, latar cerita, dan sudut pandangan yang ketara perbezaannya daripada karya sastera sebelumnya yang bersifat rekaan dan khayalan. Bahkan, Munsyi Abdullah lebih mementingkan unsur realiti dan nyata yang berlaku di hadapan matanya. Munsyi Abdullah terkenal sebagai seorang pemerhati yang amat teliti terhadap keadaan sekitar zamannya. Apa-apa yang dilihat, dialami dan dianalisis sepanjang tempoh pelayarannya dirakam dalam autobiografinya, dan menjadi bahan bukti keperihalan masyarakat ketika itu yang melatari ceritanya. Penceritaan sebegini akan lebih terkesan di hati pembaca kerana lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Baharuddin Kahar menerusi tulisannya dalam Menerjang Gelombang (1989) memperlihatkan kisah suka duka perjuangan buruh lombong bijih timah di Ipoh, Perak. Perjuangan mereka adalah untuk menuntut hak dan keadilan daripada Kompeni Inggeris sekitar tahun 1955, tambahan pula ketika itu, gerakan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu juga sedang memuncak. Gambaran kehidupan kaum buruh pelbagai kaum di daerah perlombongan dan kegiatan kumpulan samseng yang menjadi alat kapitalis penjajah Inggeris serta tali barut dalam kalangan buruh sendiri dilukiskan oleh Baharuddin dengan cukup baik sekali. Ternyata dalam novel ini, Baharuddin bijak memasukkan nilai-nilai kemanusiaan yang kompleks, erti dan nilai perjuangan, ego manusia atau sesuatu bangsa, cinta dan kekecewaan, maruah dan kepentingan diri dan tentang sosiobudaya masyarakat lombong yang berbilang kaum.
Jong Chian Lai pula dengan novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1986) memaparkan dilema yang dihadapi oleh masyarakat kaum Iban yang tinggal di sebuah rumah panjang di Nanga Tiga sebuah kawasan pedalaman di Sarawak. Permasalahan mereka ialah sama ada untuk tetap mempertahankan kemurnian alam sekitar, atau menerima kehidupan moden dan membiarkan alam sekitar mereka menjadi tandus dan gondol akibat kegiatan pembalakan secara haram.
Demikianlah sebahagian cerita masyarakat suka dan dukanya dirakam oleh pengarang dalam karya seni mereka. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadi iktibar dan teladan kepada masyarakat lain. Karya seni mereka ini juga biarpun sudah lama diterbitkan, namun karya ini tetap malar segar hingga menjadi pilihan pengkaji untuk mengkajinya dari pelbagai aspek kehidupan.

Selamat Menyambut Hari Guru

 

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 5 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *