Mata Ayah dan Senyum Ibu

Oleh: Syikin Zauzi

Ayah mendongak, membiarkan ibu mengancingkan butang bajunya. Sudah menjadi kebiasaan ibu menata pakaian ayah. Malah, setiap kali hari raya ibulah yang mengikat samping ayah. Ah! ayah memang benar-benar manja. Ibu juga senang begitu.

“Yam pun tidak pernah berubah. Seperti dulu-dulu, Yam masih setia membetulkan butang baju abang,” balas ayah tersenyum kecil.

Usai membetulkan butang baju, ibu menyuakan cawan berisi air kopi kepada ayah. Kopi panas yang dibancuh ibu itu ayah cicip perlahan-lahan. Kopi ayah dibancuh tanpa gula. Saya tidak pernah mampu menghirup kopi ayah walau seteguk pun. Pahit! Tapi kata ayah, kopinya tidak pahit. Kopi ayah sudah dimaniskan oleh senyuman ibu.

Mendengar gurauan ayah, ibu akan tersenyum sambil melirik manja. Saya tahu, hati ibu pastinya berbunga-bunga riang.

Dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 5 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *