Gundik dan Raja Berpisah Tiada

Oleh: Khairul Anum Mohd. Ali

Pembicaraan tentang wanita tidak pernah ada titik noktahnya. Hal ini dikatakan demikian kerana selagi ini dunia dihuni secara bersama kaum Adam dan kaum Hawa, maka cerita tentang wanita itu tidak akan tamat. Namun, yang berbezanya ialah subjek yang diperihalkan tentang wanita. Wanita tradisi diperihalkan hanya dari aspek ruang domestiknya sahaja. Hal-hal yang dikaitkan dengan mereka termasuklah peranan mereka sebagai suri dalam rumah tangga yang hanya berbakti kepada suami serta ibu bapa. Mereka diasuh untuk melaksanakan tugasan rutin termasuklah memasak, mencuci, mengemas dan mengasuh anak.

Dalam teks kesusasteraan tradisional beberapa watak dan perwatakan wanita yang khusus dilukiskan oleh pengarang hingga menjadi stereotaip dan dituruti oleh beberapa pengarang selepasnya. Watak puteri raja lazimnya digambarkan sebagai puteri yang cantik jelita, baik budi pekerti dan disayangi oleh banyak orang. Di samping itu, terdapat juga watak gundik yang bersama-sama puteri raja menghuni istana. Watak gundik sering dipaparkan sebagai wanita penggoda yang sering meruntuhkan mahligai bahagia pasangan suami isteri. Begitu juga gundik selalunya dianggap sebagai perempuan simpanan yang menjalankan peranan sebagai “teman bermalam” kepada raja. Namun, tidak semua gundik itu hanya sebagai penghibur raja yang tiada ikatan secara sah, kerana terdapat juga gundik yang dinikahi oleh raja dan menjadikan hubungan mereka sah sebagai suami isteri.

Dengan kedatangan cahaya Islam ke tanah Nusantara telah menyebarkan hidayah ke dalam jiwa nurani masyarakat Nusantara. Segala amalan tradisi yang dahulunya dianggap “tidak salah” kini ditinggalkan secara perlahan-lahan. Ajaran Islam sendiri memuliakan dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang melebihi kaum Adam. Hal ini dikatakan demikian kerana selari dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud “dunia itu perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah”.

Peredaran zaman dan perubahan cara manusia berfikir telah mengubah subjek pembicaraan tentang wanita. Wanita sekarang telah diberi hak yang sewajarnya mereka peroleh. Wanita kini tidak lagi ditempatkan hanya di ceruk dapur sahaja. Wanita kini sudah berkecimpung dalam pelbagai bidang kehidupan termasuklah bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Oleh itu,kebanyakan karya sastera kini tidak lagi menggambarkan wanita yang hanya pasrah menyerah kepada takdir, tetapi wanita yang kuat dan tabah menghadapi cabaran hidup. Walau bagaimanapun, sejauh mana wanita itu “pergi” agama, tradisi dan jati diri sentiasa dijadikan neraca pertimbangan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 6 2017.

 

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *