Cerita daripada Kata-kata

Oleh: S.M. Zakir

Watak abah sebagai antagonis muncul lagi dalam cerpen “Lagu-lagu Musim Rusuh” karya Noriha. Tetapi antagonis “abah” lebih menyerlah dan mengesankan. Cerpen ini berpihak kepada ibu, dengan pandangan pencerita datang daripada Yusuf, kanak-kanak berusia lapan tahun yang menyaksikan tragis perpisahan ayah dan ibu oleh kehadiran orang ketiga. Cerpen ini menyamai cerpen pertama yang melihat kehadiran kesan dramatik oleh cerita yang disusun dengan stilistik bahasa yang begitu meyakinkan. Gaya bahasa dan olahan cerita yang dihadirkan dalam cerpen ini seperti mengalun-alunkan emosi dan sengaja disampaikan dengan cara yang demikian untuk menempati ruang cerita.

Terdapat stail yang mengulang-ulang pertanyaan. Selain membentuk sisi naif pandangan kanak-kanak yang juga watak utamanya, stail ini membangunkan kesan emosi dan pertembungan sikap watak protagonis dan antagonis. Hal yang demikian menampakkan kekuatan protagonistik dan antagonistik watak-watak yang bermain dalam cerita. Watak ibu muncul dengan sikap protagonistik yang begitu terserlah; menerima, pasrah dan berjuang untuk kelangsungan hidup baharu. Begitu juga abah ditampilkan dengan sikap antagonistik yang menjengkelkan, punca konflik dan mementingkan diri. Menariknya, pada akhir cerita abah ditampilkan sebagai watak yang menerima “hukuman” oleh sikapnya selama ini.

Dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 6 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *