Subaltern: Catatan Suara Terpadam yang Dinukilkan Semula

Oleh: Muhammad Hisyam Haliah

Subaltern. Mungkin ramai yang akan menggelengkan kepala, tanda tidak ketahuan atau mungkin ada segelintir pihak yang intim dengan istilah ini, tetapi berpura-pura untuk mengatakan tidak padanya. Namun, secara harfiahnya, subaltern merujuk suatu kelompok manusia yang berada pada kasta bawah atau dikenali sebagai golongan terpinggir. Nah, apabila sebut sahaja “golongan terpinggir”, maka akan mula terlintas dalam fikiran kita terhadap beberapa golongan!

Antonio Gramsci merupakan pelopor atau tokoh yang begitu komited dalam usaha memperjuangkan keterbukaan suara atau hak golongan ini. Seperti yang diperkatakan dalam makalahnya, “On The Margin History: History of The Subaltern Social Group” (1934), subaltern merupakan suatu kelompok yang terkepung dalam kuasa hegemoni di bawah kelas pemerintahan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan manusia, kita tidak dapat tidak untuk lari daripada aturan hierarki sosial. Selama seseorang itu bergelar manusia rakus, selama itulah konsep kesaksamaan dalam kehidupan sukar mendapat timbang tara yang seadilnya, dan akhirnya menemui sempadan buntu. Maka itu, secara lazimnya, golongan yang berada pada tatatingkat bawah yang dibezakan dari segi kelas, kasta, kaum, usia, gender, pekerjaan, dan sebagainya menjadi boneka yang sering kali dikesampingkan keterlibatannya dalam hal membuat keputusan tentang hak pemilikan mereka.

Namun begitu, surat takdir golongan ini bukan suatu yang bersifat hakiki atau selamanya pada takuk lama. Di sebalik kesukaran golongan ini, tersingkap satu rumus bahawa nasib hidup mereka boleh diubah sama sekali. Pucuk pangkalnya, cara pembawaan diri mereka dalam khalayak merupakan pemangkin utama dalam usaha menonjolkan kehadiran mereka agar disedari dan dihormati. Penulis sempat bertanya kepada rakan yang bersuku kaum Jakun. Katanya, maju mundur kaum mereka ditentukan oleh diri sendiri dan persekitaran keluarga mereka. Walaupun terdapat masyarakatnya yang mendapat akses untuk persekolahan, tetapi masih wujud segelintir kaum minoriti ini yang tidak menamatkan alam persekolahan. Wujudnya pemikiran skeptikal yang takut untuk menerima perubahan dan lebih selesa dengan tradisi lama inilah yang akhirnya merugikan mereka sehingga kelibat mereka dipandang sepi. Perlu adanya inisiatif oleh pihak tertentu untuk tampil ke hadapan dan mengkritik isu yang berlegar dalam masyarakat ini.

Oleh sebab itulah, peranan atau gagasan yang dibawa oleh pengarang juga merupakan satu pundak sosial yang amat penting dalam usaha untuk mendukung konsep kesamarataan, sekali gus dapat dimanifestasikan dalam bentuk penulisan. Penghasilan karya kreatif, misalnya mampu untuk memperlihatkan keberadaan penulis di tengah-tengah golongan tersebut, iaitu sebagai medium untuk penulis memperkatakan isu yang ingin diketengahkan sebagai mewakili suara terpadam golongan pinggiran. Jurang pemisahan antara kelompok terpencil ini dapat dirapatkan dan disolidaritikan menerusi karya yang dihasilkan, iaitu pengarang perlu terjun ke dalam persekitaran, pengalaman, dan permasalahan mereka agar dapat menghasilkan karya yang betul-betul mengangkatkan permasalahan subjek yang dinafikan ini.

Hal inilah yang telah dilakukan oleh kebanyakan tokoh sasterawan yang memperjuangkan hak golongan subaltern ini, misalnya Faisal Tehrani yang mengangkat permasalahan masyarakat orang asli dalam Bahlut (2010), dan Pramoedya Ananta Toer dengan perjuangan kaum wanita dalam novel Bumi Manusia (2005), Anak Semua Bangsa (2006) dan Rumah Kaca (2006). Wujudnya karya sebegini berkemungkinan adanya kesedaran sosial terhadap kelompok ini kerana “kehidupan merupakan nikmat yang dilakar menerusi kebersamaan”. Seperti yang ditegaskan Saleeh Rahamad (2010: 36), penampilan golongan subaltern adalah untuk menghadirkan mereka ke tengah-tengah wacana besar supaya sumbangan mereka juga diperhatikan.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 7 2017.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *