Bebaskan Jiwa dan Minda

Oleh: Yusaida Yusof

Seketika, teringat penulis akan cerita 16 Puasa yang rancak disiarkan ketika bulan Ramadan. Cerita arahan Mamat Khalid itu memaparkan unsur realisme dalam masyarakat Malaysia ketika Ramadan menjelma. Lawak yang disampaikan dalam telefilem ini bersifat selamba. Puas bergelak ketawa, penulis tersedar oleh suntikan mesejnya yang tersendiri. Banyak mesej yang tersirat dan tersurat diterjemahkan melalui lakonan mantap para pelakonnya sehingga terasa seperti bersama-sama mereka ketika itu. Yang pasti, minda watak-watak yang dicipta untuk tontonan penonton itu dilihat begitu signifikan bagi memaparkan minda tertawan yang dimiliki oleh segelintir masyarakat, khususnya yang beragama Islam sehingga hari ini. Mereka berkonflik dalam diri masing-masing dan tertawan bukan sahaja dari segi akhlak, bahkan dari segi rohani. Dengan kata lain, mereka masih belum merdeka sepenuhnya.

Oleh itu, dengan labuhnya tirai Julai, kita disambut oleh aura kemerdekaan pada bulan Ogos. Pastinya, saban tahun, negara bersiap siaga untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kemerdekaan. Tempoh 60 tahun ialah suatu masa yang cukup signifikan terutama bagi membentuk jiwa dan minda rakyat untuk membina negara bangsa yang maju dan gemilang. Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Pada hakikatnya, adakah kita pada hari ini benar-benar merdeka jiwa dan minda sepenuhnya?

Adakah generasi pada hari ini benar-benar menghayati dan menjiwai adab, nilai murni dan budaya yang dipertahankan selama ini? Segelintir generasi pada hari ini makin berani mencabar undang-undang, menghina para pemimpin, tidak menghormati agama dan bangsa lain mempertikai kontrak sosial dan segala yang terkandung dalam Perlembagaan, sehingga ada yang sanggup membakar Jalur Gemilang! Realitinya, kita bukan lagi berhadapan dengan musuh luar, sebaliknya diserang hendap oleh musuh dalam selimut, baik secara nyata mahupun melalui alam maya. Bersama-samalah kita hayati setiap bait kata Ibnu Khaldun melalui Al-Muqaddimah, “Betapa sebuah bangsa yang dijajah akan cepat lenyap dan sirna. Yang tinggal hanyalah puing-puing yang menjadi kenangan-kenangan muzium untuk umat akan datang”.

“Selamat Hari Kebangsaan 2017.”

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 8 2017

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *