Warisan Seni Dijunjung, Dipinggir Tidak Sekali

Oleh: Yusaida Yusuf

Muzik sangat universal sifatnya dan menjadi satu daripada cara untuk menyatakan perasaan atau ekspresi diri. Menurut John Shepherd dalam Music as Social Text, melalui muzik yang dicipta, mereka juga menghasilkan nilai atau kualiti asas pemikiran bangsa. Pada asasnya, proses pemikiran itu berpaksikan masyarakat. Irama, seni kata dan gaya penyampaian muzik atau dendangan lagu berkaitan rapat dengan pencerminan sosial. Secara ringkasnya, seni muzik merupakan satu daripada cabang seni yang digunakan oleh manusia untuk menyatakan fikiran. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa satu daripada pembentuk nilai ialah seni muzik.

Seni muzik sama seperti seni yang lain kerana sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Di Malaysia, unsur penjajahan budaya Barat terhadap budaya tempatan dilihat amat berjaya. Hal ini jelas dapat dilihat melalui rancangan hiburan yang disiarkan oleh televisyen dan radio mutakhir ini. Bukan setakat lagu, malah fesyen berpakaian yang kononnya moden juga berjaya menawan hati rakyat. Sebagai bangsa yang tentunya tidak mahu kehilangan maruah dan jati diri, pastinya kita tidak mahu muzik kita hilang begitu sahaja. Jangan sampai kehilangan itu menyebabkan kita berpegang terus pada muzik Barat. Kita sememangnya harus berubah, tetapi perubahan itu tidaklah sehingga menyebabkan maruah kita tergadai.

Lagu rakyat pula ialah suara rakyat, gema sejarah dan cermin kehidupan. Manusia dapat melahirkan rasa kegembiraan, kesedihan, dan harapan melalui lagu rakyat, dan sekali gus mengenal kehidupan melaluinya. Sesuatu budaya itu dapat dihayati melalui seni kata sesebuah lagu rakyat, yang juga mencerminkan budaya pemikiran rakyat yang melahirkannya. Lagu rakyat perlu terus diperjuangkan, dan pada masa yang sama, perlu bersaing dengan pelbagai genre muzik dari seluruh dunia. Meskipun pencipta lagu rakyat tidak dapat dikenal pasti identitinya, pelbagai lagu rakyat sudah lama dinyanyikan oleh masyarakat di negara ini. Lagu rakyat melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa, yang di dalamnya tersirat pelbagai mesej dan nilai murni. Unsur pendidikan begitu nyata dalam lagu tersebut yang menjadikan nyanyian itu berfungsi sebagai alat pendidikan yang cukup jelas. Dalam hal ini, mendidik bermaksud usaha untuk membentuk budi pekerti, jiwa halus dan kesopanan ahli masyarakat.

Lagu rakyat dan muzik Melayu, jika terus diberi peluang yang meluas, dapat diletakkan di arena antarabangsa seperti bangsa lain yang terpelihara identiti budayanya. Stesen radio perlu memainkan peranan yang penting untuk terus mengangkat lagu warisan bangsa lantaran pengaruhnya yang sangat besar. Namun begitu, ada stesen radio yang tidak memberikan sokongan secara menyeluruh untuk memelihara khazanah bangsa. Oleh itu, apabila radio popular tidak lagi memutarkan lagu tradisional, seperti lagu rakyat, secara tidak langsung hal ini menyebabkan populariti lagu berkenaan hilang sedikit demi sedikit. Lagu klasik ciptaan pemuzik agung Barat Beethoven dan Mozart masih dimainkan sehingga kini. Bagaimanakah dengan muzik kita? Di manakah lagu rakyat kita?

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 9 2017

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *