Mengambil Contoh kepada yang Salah, Mengambil Tuah kepada yang Menang

Oleh: Yusaida Yusof

Duduk berjam-jam di dalam kereta, dengan kereta yang bergerak perlahan memang sangat menguji kesabaran penulis. Hal inilah yang dirasakan saat menempuh jalan raya yang sesak selama 14 jam! Inilah cabaran yang diterima ketika pulang ke kampung bersempena dengan cuti raya baru-baru ini, yang sama sekali tidak mematahkan semangat untuk setia pulang ke kampung walaupun hal ini sememangnya dijangka dan akan ditempuh setiap kali pulang beraya. Yang paling penting, dapat pulang ke kampung dan berada bersama-sama keluarga tersayang. Sememangnya dengan perkembangan teknologi terkini, penggunaan aplikasi Waze, GPS, Maps, Traffic Alerts dan Live Navigation sedikit banyak dapat memberikan info yang berguna kepada pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan masing-masing.

Sehubungan dengan itu, perasaan konsisten dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, walaupun pastinya mengetahui risiko yang bakal ditempuh, sangat diperlukan. Analoginya mudah sahaja. Penulis baharu mestilah konsisten dalam berkarya untuk menghasilkan karya yang dapat membanggakan diri walaupun tidak pasti akan masanya itu. Penulis yang berkecimpung dalam dunia sastera memerlukan kekuatan rohani, bakat dan kesungguhan. Kajian dan penyelidikan perlu dilakukan terlebih dahulu agar tidak menulis sesuatu yang pernah dihasilkan oleh para penulis sebelum ini. Sementalah, karya biasanya mengikut peredaran masa, emosi sesuatu zaman. Yang pasti, penguasaan bahasa yang bagus dalam kalangan penulis menjadi bonus untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Dengan ini, diharapkan agar penulis muda yang dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan bukan hanya aktif untuk melaksanakannya pada setiap bulan Oktober pada setiap tahun sahaja.

Pada kali ini, sidang editorial Tunas Cipta (TC) amat berbangga apabila salah seorang penulis hebat tanah air, yang juga mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan kolumnis ruangan Hak Cipta majalah ini, Puan Nisah Haron, telah dinobatkan sebagai penerima terbaharu hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017. Tahniah!

Menyorot sedikit tumpuan TC pada bulan ini, artikel yang disiarkan ini diharapkan dapat menambahkan ilmu pengetahuan penulis muda yang baru berjinak-jinak untuk menghasilkan karya berupa travelog. Sebenarnya, penulisan berbentuk travelog telah lama wujud. Antara mereka yang terkenal di seluruh dunia dengan penulisan travelog termasuklah Ibnu Battuta, pengembara terkemuka dari Maghribi yang menghasilkan Rihlah, yang sehingga kini menjadi sumber rujukan, dan Marco Polo dari Itali yang terkenal dengan pengembaraannya sejak berusia 17 tahun.

Lazimnya, segala bentuk rakaman pengembaraan dan hasil pengalaman di sesuatu lokasi akan diabadikan dalam bentuk tulisan. Namun begitu, ada juga karya travelog yang dihasilkan dalam bentuk lukisan, fotografi dan komik. Setiap orang ada cara tersendiri untuk berkongsi sesuatu peristiwa. Semuanya terpulang kepada penulis untuk memilih medium bagi kemudahan mereka berkongsi cerita. Terpulanglah kepada para penulis untuk memaparkan atau mengetengahkan keunikan hasil pengamatannya di sesebuah lokasi yang dilewati. Selamat berkarya.

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 10 2017

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *