Tiada Gunung yang Tinggi tak Dapat Didaki, Tiada Lurah yang tak Dapat Dituruni

Oleh: Yusaida Yusuf

Saban hari sidang editorial menerima karya kreatif melalui e-mel. Kadang-kadang, ada juga karya yang diterima melalui pos, yang kini jarang-jarang dilakukan oleh penulis untuk menghantar karya mereka. Apa-apa pun, sambutan penulis muda terhadap majalah ini sangat menggalakkan. Terima kasih diucapkan atas sokongan yang diberikan! Sememangnya Tunas Cipta (TC) diterbitkan untuk memberikan ruang dan peluang yang khusus kepada penulis muda untuk berkarya, khasnya karya kreatif seperti cerpen dan puisi. Tambahan lagi, memang menjadi hasrat TC untuk memperkenalkan penulis baharu pada setiap bulan, khususnya untuk penulisan cerpen, sajak dan puisi tradisional.

Tahniah diucapkan kepada para penulis yang hasil karya mereka disiarkan dalam TC. Mereka yang berjaya menembusi TC seharusnya menjadikannya sebagai penanda aras untuk mencuba pula menerobos penerbitan yang lebih mencabar, seperti menembusi dinding kebal Dewan Sastera, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Kosmik, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, serta apa-apa sahaja medium yang menganjurkan ruangan kreatif. Hal ini perlu diambil berat oleh para penulis muda agar mereka tidak duduk pada takah yang sama. Penulis muda perlulah mencabar diri untuk menghasilkan karya yang lebih bagus dan bermutu. TC sebagai wadah sastera generasi baharu bukan sekadar dicipta untuk bersuka-suka, tetapi untuk membina sasterawan pelapis agar dapat menyemarakkan dunia sastera tanah air lagi.

Umum juga tahu bahawa untuk melahirkan sasterawan bukan hanya dengan memetik jari. Sasterawan ialah pejuang yang menggunakan akal, perasaan, pengamatan dan segala pengalaman hidupnya bagi menghasilkan karya. Oleh itu, penulis muda perlu merentas lautan ilmu, menggali akar ilmu dan mengolah segala ilmu dan pengalaman, di samping konsisten dalam berkarya. Mereka juga perlu membentuk identiti sendiri tanpa terlalu terpengaruh dengan penulis terdahulu.

Jika ingin mengukir nama dalam dunia penulisan sebagai penulis yang berwibawa, mereka perlu sentiasa menulis dan membaca. Jangan hanya bersusah payah untuk mendapatkan majalah atau akhbar semata-mata ingin melihat karya sendiri yang tersiar. Sebaliknya, sentiasalah membaca sepanjang masa untuk menimba ilmu yang pelbagai dan menggarap idea daripada bahan bacaan sebagai maklumat tambahan untuk menghasilkan karya yang bermutu. Dengan hal yang demikian, pastinya para penulis muda mampu bersaing dengan penulis mapan, dan dalam genre yang tertentu, pastinya mereka mampu mengatasi penulis mapan. Di samping membaca, para penulis muda juga perlulah rajin mengikuti sebarang bengkel atau kursus penulisan untuk menambah baik teknik menulis.

Oleh itu, penulis muda jangan cepat mengalah. Teruskan berkarya!

Artikel ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 11 2017

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *