Lelaki Tua yang Tidak Peduli akan Dunia

Oleh: Abul M. Salleh

Ketika ralit melihat-lihat kamar, terdengar kosak-kasik selipar memasuki rumah. Aku terus menyorok di belakang pintu kamar. Perlahan-lahan aku jengulkan kepala. Lelaki tua itu duduk di ruang tamu sambil merogoh beg plastiknya. Selepas itu, dia baring berlapikkan surat khabar.

Aku yang bersembunyi di dalam kamar itu mulai kepanasan. Nyamuk-nyamuk galak menggigit. Sesekali aku menampar angin di tepi telinga, menghalau dengingan nyamuk. Aku mencangkung, menggaru-garu kaki dan lengan. Aku rimas. Situasi itu mendesakku keluar. Aku menarik dan menghembus nafas beberapa kali lalu bangun dan lari.

Sewaktu berlari keluar, lelaki tua itu baru keluar dari tandas. Aku tidak sedar bila masanya dia ke tandas. Larianku terhenti. Dahiku mulai basah. Aku terkejut. Kepalaku ligat menyusun ayat permohonan maaf andai dimarahi oleh lelaki tua itu. Wajahnya terlihat samar-samar. Dia tidak memandangku. Seolah-olah aku tidak wujud. Dia berbaring semula di atas lapik surat khabar. Segera aku bergegas pulang. Panasaran aku menjadi-jadi. Malam itu aku tidak boleh tidur.

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta Bil. 11 2017

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *