Daun Beringin

Oleh Bahruddin Bekri

Banyak kali juga dia memandang ke sana. Di seberang jalan, ada seekor anjing kurap seperti sedang menjaga bangunan yang sudah boleh diduduki. Sudah empat lima kali dia memandang, dan kali ini lebih lama. Matanya memandang cermat, seperti mata duda yang terpandang anak dara duduk di tangga. Sambil-sambil itu mulutnya tetap mengunyah-ngunyah, menjelaskan dia sedang memandang dalam keadaan sedang menjamu selera.

Pada saat dia berhenti mengunyah, kerana yang dikunyahnya itu sudah lumat masuk ke perut, barulah dia meluruskan lehernya, tunduk dan melihat baki mi rebus yang masih berkepul-kepul di hadapannya. Segera dia mengangkat sudu yang sarat mi kuning bergantungan sampai ke mangkuk. Bau mi rebus itu membuatkan dia tidak tahan. Namun pada saat matanya memandang ke sana, tangannya yang memegang sudu yang sarat mi berhenti, terawang-awang. Wajahnya menjuih-juih benci. Perempuan yang duduk di hadapannya yang memaparkan ciri seorang yang berakhlak baik, seperti teruji dengan ulah lelaki di hadapannya itu.

“Abang, makanlah dulu,” tegur perempuan itu. Nadanya separuh merayu dan separuh tidak berpuas hati.

Lelaki itu, yang kerinting rambutnya tetapi dipotong pendek sehingga tidak perlu apa-apa fesyen, memandang perempuan di hadapannya. Wajahnya jelas tidak suka dirayu dengan nada yang tidak puas hati.

“Mana mungkin abang boleh makan dengan tenang kalau benda itu ada di sana,” kata lelaki itu dengan keras. Matanya terus memandang ke arah sana sebelum sudu yang sarat mi disodorkan ke mulut. Seketika wajah lelaki itu nampak tenang. Rasa mi rebus berpadu dengan lidah, dan saraf-saraf nikmat di lidah segera memberikan rasa sensasi kepada lelaki itu. Lelaki itu seperti terlupa seketika apa yang membuatkan hatinya rusuh.

Pantas fikiran lelaki itu beranjak ke belakang, pada tahun-tahun yang dia masih di bawah tanggungan bapanya. Bapanyalah yang pertama kali membawa dia ke situ. Ke kedai mi rebus, di bawah pokok beringin. Sedapnya mi rebus di bawah pokok beringin itu, tiada duanya. Katakan sahaja rasa apa yang dimahukan, pasti ada di dalam mangkuk mi rebus itu. Rasa manis, rasa masam, rasa masin, rasa pahit, rasa daging, rasa tepung, rasa sayur, rasa panas, bersatu lalu menjadi legenda pada lidah-lidah yang pernah merasanya.

Ingat juga lelaki itu kepada pengasas kedai mi rebus di bawah pokok beringin itu, seorang lelaki bernama Pak Alimun. Lelaki yang seperti rentung kulitnya. Rambutnya sudah kelabu, tetapi gigi yang masih kukuh dan tidak pernah lupa mengenakan songkok hitam yang sudah rosak kain baldunya kerana kerap terkena hujan.

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *