Ciuman Pada Buku

Oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Semasa dia melangkah keluar dari Kinokuniya, terasa badannya mengapung terbang. Dia terlebih ramah dengan penjaga pintu yang mungkin daripada negara Bangladesh yang dibenci cukup lama kerana matanya yang terlalu awas kepada pengunjung yang berpotensi untuk mencuri buku. Semasa membayar di kaunter, pertama kalinya dia mengucapkan terima kasih kepada pekerja kedai buku yang selalu dipandang rendah jika irit pengetahuan tentang buku.

Ini kisah penantiannya setahun. Semenjak dia tahu penulis kegemarannya telah menerbitkan buku baharu, dia terus gesit menuju Kinokuniya kerana itulah satu-satunya kedai buku yang mungkin akan menjual buku-buku jenis itu. Buku sastera yang tidak akan dipandang orang lantaran kelompok pembacanya yang sedikit. Tawaran diskaun di Amazon.com sangat menggiurkan tetapi dia pembeli yang konvensional. Sebelum membeli harus melalui semacam ritual yang aneh dan diamalkan bertahun-tahun.

Pegang-buka-hirup bau buku-beli.

Setahun lepas semasa dia bertanya judul buku terbabit, penjaga kaunter menggeleng kepala dan mengatakan tiada dalam stok. Mungkin bosan dengan pertanyaan yang sama hampir setiap hari selama tiga bulan, akhirnya penjaga kaunter pertanyaan itu menjawab separuh sebal, “Stok akan tiba lagi lapan bulan.”

Titik.

Dia menyisih dan tidak muncul di kaunter pertanyaan kerana percaya lagi lapan bulan, buku idamannya itu akan tiba. Nafsu baca disabarkan dengan jawapan buku itu akan tiba lagi lapan bulan.

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *