Platform (Siri 17)

Sambungan daripada siri 16

Oleh Aminah Mokhtar

Dipejamkan mata, diatur nafas di dada perlahan-lahan. Dipaksakan mata hatinya melihat ke belakang. Dia yakin, dia berjaya membentuk dirinya bangun dari kegagalan. Kehadiran Syed Bukhari dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia dapat rasakan ada kekuatan yang lebih besar memberikannya tenaga yang luar biasa untuk membawa Serasah Indah Sdn. Bhd. pergi lebih jauh.

Sudah disediakan semuanya, Orkid, Anas dan semuanya. Tetapi mengapa ada kuasa yang mahu memerangi dan menghancurkan kekuatannya? Siapa yang mengubah hati dan perasaan Orkid?

Mengapa tiba-tiba sahaja Orkid menjadi anak yang tidak taat? Ketidaktaatan itu benar-benar menghampakannya. Perasaannya kepada Orkid jadi keruh, tidak sejernih dahulu.

Mengapa tiba-tiba sahaja ada tangan yang mahu meragut hari depan Serasa Indah Sdn. Bhd.? Mengapa ada tangan yang mahu merampas Orkid daripadanya? Mengapa? Soalan itu bertubi-tubi mengasak fikirannya. Dia benar-benar rasa tertekan.

Dia rasa penat. Rasa tidak mahu tahu bagaimana lagi mahu mentadbir hati dengan baik, mahu mentadbir perasaan dengan cemerlang apatah lagi mahu mentadbir Serasah Indah Sdn. Bhd.

Dia benar-benar rasa penat. Rasanya mahu sahaja diserahkan penat itu kepada Orkid. Dia yakin, Orkid tidak akan penat menjadi pentadbir, kerana Orkid memang dilahirkan sebagai pentadbir, mentadbir apa-apa sahaja dengan baik dan berjaya.

Tetapi mengapa tiba-tiba sahaja Orkid berubah?

Tetapi mengapa yang ada di mata dan di hatinya tidak ada di mata dan di hati Orkid? Atau diakah yang tidak nampak apa yang ada di mata dan di hati Orkid?

Jiwa Tuan Jauhar semakin rusuh. Tiba-tiba terasa hidupnya jadi longgar. Terasa ada bahagian-bahagian yang tertanggal, ada bahagian-bahagian yang tercicir. Semakin cuba ditampal bahagian yang tertanggal itu, semakin besar pula rasa lompongnya.

Dia kecewa.

Dia mula membayangkan bagaimana keadaan Serasa Indah Sdn. Bhd., ketiadaannya nanti. Apakah Orkid akan menerajuinya kerana terpaksa atau Orkid serahkan semuanya kepada Anas?

Anas?

Dia jadi ngeri. Fikirannya semakin berserabut. Terasa hasil kerjanya bertahun-tahun membina dan membangunkan Serasa Indah Sdn. Bhd. tidak bermakna. Tiga puluh tahun dia membina dan membangunkan keluarganya, mengikut acuannya, tiba-tiba mengakhiri ketiga puluh tahun itu, lain pula jadinya.

___

Cerita ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Ikuti siri 18 pada bulan hadapan.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *