Berjinak-jinak dengan Penulisan

Oleh Mohd Saad Omar

Ini subjek kegemaran saya. Persoalan bagaimana penulis mula minat membaca dan apakah inspirasi yang mendesak mereka untuk menulis? Kisah yang akan saya ceritakan ini ialah kisah yang sama akan saya sampaikan dan jika ditanya keseratus kali pun, inilah cerita yang akan saya kongsikan; kisah bagaimana pada suatu hari saya pergi ke perpustakaan di Teluk Intan dan meminjam sebuah buku tulisan Albert Camus. Sebuah buku kejam yang telah mengubah hidup saya. Bagaimana buku yang nipis itu boleh memberi kesan yang mendalam? Bagaimana bentukan huruf-huruf yang naif itu boleh menggores hati saya? Ia betul-betul menghantui saya. Oleh sebab buku yang sekecil itu, saya akhirnya jatuh cinta kepada sastera dan bercita-cita untuk menjadi penulis. Saya ingin melukakan perasaan orang lain dengan ayat-ayat naif, sama seperti bagaimana Albert Camus berjaya meremukkan jiwa saya dengan L’Étrangernya.

Saya mula membaca The Stranger (The Outsider) mengikut sesetengah ahli bahasa) ketika umur 24 tahun. Ketika saya baru tamat belajar, menganggur dan putus harapan. Bagi mengisi masa, saya selalu ke perpustakaan kecil di Teluk Intan. Antara buku yang saya pinjam bertajuk Orang Terasing terjemahan bahasa Melayu daripada penulis asal Albert Camus. Albert Camus sebagai wakil eksistensialis memanglah bukan tokoh yang baik untuk penulis yang beragama Islam macam saya, bagi pendapat sesetengah orang. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak boleh nafikan kelakuan Mersault dalam tindakannya, terutama pada saat kematian ibunya.

Akhirnya persoalan yang harus kita tanya kepada diri sendiri apabila usai membaca karya itu, bagaimana lelaki seperti itu boleh tidak mempunyai perasaan kepada ibunya dan juga manusia sekelilingnya? Adakah akhirnya aku juga seperti Mersault? Adakah aku juga dikatakan jahat dan tidak bermoral kerana gagal menangis pada hari kematian orang yang disayangi? Persoalan itu membelenggu saya, dan dalam situasi “reverse psychology” inilah watak lelaki asing yang memberikan kesan kepada saya. Saya membenci Mersault dan pada masa yang sama, saya terkesan dengannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *