Minggu Remaja yang Pergi, Ilmu Sastera yang Digeluti

Oleh Kamariah Kamaruddin

Kala itu saya masih remaja benar ketika diterima masuk sebagai peserta Minggu Remaja pada tahun 1989. Dalam usia saya yang baharu mencecah 16 tahun, pengalaman menjadi “anak angkat” Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan pengalaman luar biasa yang membahagiakan. Sementelah ketika di Sekolah Menengah Agama al-Falah, Kemaman, cerpen pertama saya yang dihasilkan ketika tingkatan dua telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam peraduan menulis cerpen peringkat sekolah dan dimuatkan dalam majalah tahunan sekolah. Cikgu Junaidi Alias, guru bahasa Melayu dan sastera yang banyak mendorong saya untuk “pergi jauh”. Alhamdulillah, saya membuktikannya walaupun pada peringkat awal dalam dunia penulisan, saya mengalami cabaran yang bukan sedikit apabila permohonan untuk menjadi ahli Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) peringkat daerah Kemaman tidak diterima kerana alasannya saya masih di bangku sekolah. Apabila novel sulung saya terbit, banyak pihak yang membuka mata, dan akhirnya PELITA menerima keahlian saya, dan hari ini perkembangan sastera di tanah kelahiran saya banyak diwartakan oleh karyawan tersohor, Tuan Sharif Putera.

Lantaran kerana menjadi pelanggan setia majalah Dewan Siswa yang saban bulan datang bertandang, saya mengenali “Minggu Remaja”. Sementelahan pula ketika tingkatan tiga, bagi memenuhi waktu senggang cuti persekolahan akhir tahun, saya membaca sebuah novel remaja, “Keranamu Aku Menangis” karya Amaruszati Noor Rahim, juga salah seorang mantan Minggu Remaja.

Saya begitu terpesona dengan pengalamannya menumpahkan sebahagian kenangannya di Minggu Remaja dalam novel sulungnya itu. Garapan berbentuk catatan surat dengan anyaman bahasa yang segar langsung membuatkan saya jatuh cinta pada Minggu Remaja, pada novel remaja dan pada pengarangnya juga. Ini meninggalkan kesan pada persahabatan saya dengan sahabat akrab, Fariza Khalid (kini pensyarah di Fakulti Pendidikan, UKM) yang menjadikan novel “Keranamu Aku Menangis” sebagai inspirasi untuk kami berutus surat. Lucu jika mengenangnya. Besar benar pengaruh sebuah karya remaja buat pertumbuhan jiwa remaja. Ukhuwah dengan Amaruszati Noor Rahim juga terjalin apabila saya dengan beraninya mengirimkan surat yang dialamatkan kepada DBP kerana memikirkan beliau produk “Minggu Remaja”. Sekalung terima kasih buat ayahanda Ali Majod yang ketika itu berada di meja penerbitan buku menemukan saya dengan Amaruszati hasil daripada sepucuk surat. Walaupun masing-masing tidak mengenali, tetapi lantaran kerana “Minggu Remaja” hubungan kami menjadi akrab dan berlanjutan sehingga kini.

Karya Terkini Penulis

Catatan Cinta Anak Bonda

Saya tidak pasti bila hari terakhir bersama-sama bonda menikmati secangkir kopi panas dengan mengunyah keropok goreng kesukaannya. Agak sudah lama kami tidak dapat meraikan apa-apa sambutan. Setiap kali tibanya tarikh penting dalam kehidupan, saya sering dihambat oleh waktu. Ada sahaja perkara yang perlu saya laksanakan yang dengan sendirinya membantutkan hasrat saya untuk bersama-sama dengan bonda. Kadang-kadang saya marah kepada diri sendiri. Adakalanya terdetik dalam hati bahawa saya anak yang tidak tahu untung diri. Saya mempunyai seorang bonda yang baik, yang menyayangi saya seluhurnya tetapi saya tidak mampu membalas segala kebaikannya terhadap saya. Saya mempunyai seorang bonda yang cantik rupawan, yang disenangi oleh semua masyarakat sekeliling, namun saya tidak mampu menghargai kecantikannya dalam hidup saya. Saya mempunyai seorang bonda yang teguh pendirian dan utuh agama, yang mendidik saya menjadi manusia yang berjaya dan berguna, pun begitu saya tidak mampu mengasuh diri menjadi seteguh dan seutuh bonda. Dia bonda saya. Dia yang menghamilkan saya. Dia yang melahirkan saya. Dia yang membesarkan saya. Dia yang menyayangi saya. Dia yang menganugerahkan segala yang baik-baik buat saya menjalani kehidupan yang penuh pancaroba. Maka, saya mahu mengenang bonda setiap detik nafas yang dikurnia-Nya

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *