BBK 2011: Peranan Penulis Muda

Bermula Oktober 2009, Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dijenamakan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Sejarah sambutan bahasa Kebangsaan secara rasmi ini telah bermula sejak tahun 1960 lagi. Bermula dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (1960-1966), kemudian kempen Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) pada tahun 1987, Minggu Sastera Negara pada tahun 1987 dan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta pada tahun 1996.

Kesemua program ini dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai mengisi semangat dan janji “Bahasa Jiwa Bangsa”. Pengisian program bahasa dan sastera ini untuk mengingatkan masyarakat tentang kekuatan dan kehebatan bahasa dan sastera Melayu dan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks sastera pula, pelbagai kegiatan kesusasteraan dilaksanakan seperti berbalas pantun, drama, sayembara penulisan dan sebagainya dalam usaha untuk mendekatkan sastera kepada masyarakat, khususnya remaja.

Bagi penulis muda pula, di samping terus menghasilkan karya yang hebat dan bermutu, mereka perlu turut terlibat dalam pengisian BBK ini. Sebagai contoh, BBK peringkat Putrajaya pada tahun 2010, penulis muda seperti Shahkang (Norshah Aizat Shuaib), Badariah Arbin, Khalil Zaini dan Nasriah Abdul Salam telah memenangi Pertandingan Cerpen Sempena Bulan Bahasa Peringkat Putrajaya 2010. Ruang dan peluang yang ada dalam program BBK seharusnya disambut oleh penulis muda. Maka Tunas Cipta kali ini cuba mengupas penglibatan remaja dalam program BBK.

-Ruslan Abdull Raffar

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *