Datang dan Pergi …

Ketika itu saya menghadiri kursus di Langkawi, Kedah. Baru beberapa jam di sana, saya mendapat panggilan telefon dari pejabat. Panggilan daripada Ketua Bahagian. Beliau menyatakan ada perkara yang hendak dimaklumkan. Akan tetapi beliau mengatakan bahawa tunggu sehingga saya selesai berkursus dan kembali ke pejabat. Hati saya tidak tenteram. Saya telefon beliau kembali. Akhirnya pecahlah khabar bahawa saya diarahkan untuk berpindah bahagian.

Pada mulanya saya berat hati untuk berpindah. Saya masih belum puas dengan dunia penerbitan buku, khususnya bidang sastera. Ilmu penerbitan buku masih cetek dan saya perlukan banyak pendedahan berkaitan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, setelah berbincang dengan Ketua Bahagian, dan setelah berfikir masak-masak, saya mengikuti arahan perpindahan tersebut tanpa penangguhan. Pada November 2009, bermulalah kehidupan baharu saya sebagai editor majalah dan bertanggungjawab menerbitkan majalah Tunas Cipta.

Menangani majalah tersebut menemukan saya dengan pelbagai orang. Antara yang menarik, saya mendapat ramai kenalan penulis dalam kalangan orang muda. Saya seronok bertemu dan berbual dengan mereka berkaitan penerbitan majalah ini juga perkara lain. Mereka ini amat bersemangat apabila berbicara perihal karya dan amat positif dengan perkembangan sastera tanah air. Kerjasama yang diberikan oleh mereka, saya sangat berpuas hati. Saya doakan majalah ini akan terus mengisi matlamat melahirkan karyawan yang berketerampilan dan berkualiti. Semua itu boleh
disimpulkan dengan ungkapan berikut, “Saya datang dengan berat hati namun saya pergi dengan puas hati.”

Sebagai mengisi tugas terakhir saya bagi keluaran November ini, Tunas Cipta memfokuskan latar dalam karya. Ulasan cerpen, Mei 2011 oleh Dr. Siti Hajar Che Man ada menyentuh perihal latar dalam penceritaan. Beliau menyatakan bahawa unsur latar merupakan elemen yang memperlihatkan kematangan dan penguasaan pengarang untuk membicarakan isu yang dikemukakan. Di samping itu, pemilihan latar juga akan menimbulkan suasana yang dapat menarik pembaca mengikuti jalan cerita. Yang penting pemilihan latar harus tepat dan penulis perlu mengetahui latar
dengan sebaik-baiknya dalam cerita yang hendak disampaikan.
-RUSLAN ABDULL RAFFAR

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta November 2011.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *