Di Penghujung Rindu

Oleh Hasni Jamali

Judul Buku: Di Penghujung Rindu
Pengarang: Muhd. Mansur Abdullah
Harga: RM 25.00 (379 halaman)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Bukan niat Sara untuk menjadi anak derhaka. Tiada terlintas di hati kecil Haji Masto untuk menjadi bapa durjana. Tidak pula terdapat dalam rencana hidup Hajah Tuminah untuk sama-sama menjadi kejam kepada anaknya. Sara, seorang anak gadis yang telah mencabar takdir hidup keluarga mereka. Takdir yang mengesahkan bahawa rindu itu punya kuasa besar hingga dapat mengubah hati-hati yang dilanda amarah lalu mencair, menyejuk kalbu.

Jauh di kota asing, Sara sering bermenung. Mengenangkan nasibnya di rantauan yang sentiasa disisihkan kenalan-kenalan baharu. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Menjadi seorang pelarian daripada segala masalah yang bertandang dalam kehidupan di tanah airnya. Kehidupan di San Francisco dibina bersama-sama suami, Ahmad Alfred yang juga menerima tempias akibat berkahwin dengan warga Asia. Latar tahun 1990-an  yang dikisahkan oleh Muhd. Mansur Abdullah dalam novel Di Penghujung Rindu ini memberikan gambaran bahawa terdapat diskriminasi orang asing kepada orang Asia.

Setiap episod duka antara Sara dengan Haji Masto dan Hajah Tuminah terbayang-bayang di mata. Dalam masa yang sama, Sara tidak pernah lupa kenangan di kampung halamannya. Peninggalan yang amat bermakna kepada Sara dan Ahmad Ghaus, suami pertama yang menjadi halangan dalam setiap episod lara itu. Gara-gara pilihan hati Sara terhadap Ahmad Ghaus dan bukannya mengikut aturan Haji Masto, maka berlakulah pertelingkahan antara kedua-dua anak-beranak ini.

Segala kenangan hanya mampu di sambut dengan rindu yang mendalam. Episod duka dan lara tidak membenarkan sesekali Sara membenci terus ayah dan emaknya. Terbayang-bayang dalam angannya, berjayakah dia mengharung dunia baharu di rantau orang yang selalu memperlekeh keupayaan orang Asia sepertinya? Berjayakah dia meredah segala onak setelah dia meninggalkan kedua-dua orang tuanya yang dia sendiri tahu, perbuatan itu boleh membawa dirinya digelar anak derhaka!

Kegawatan ekonomi memerihkan lagi keadaan. Sara diberhentikan kerja. Kini tanggungan kehidupan terpikul di bahu Ahmad Alfred seorang. Resah Sara menjadi-jadi apabila Ahmad Alfred bertentangan pendapat dengan ketua di tempat  kerjanya. Ahmad Alfred dituduh cuba menyeleweng kepercayaan yang diberikan syarikat dengan membawa bangsa asing seperti Sara bekerja di negaranya. Kebimbangan Sara berakhir dengan usapan rindu yang datang tiba-tiba. Belai dan kasih sayang yang ditumpahkan Ahmad Alfred memesrakan hatinya agar bersyukur dengan dugaan yang menimpa. Keutuhan Ahmad Alfred melawan keburukan dan menegakkan kebenaran amat menyenangkan hati Sara.

Perasaan gembira tidak selamanya hadir dalam hidup mereka. Kalsom, adik ipar Sara kurang senang dengan keputusan yang bakal dibuat oleh Karim, suaminya. Karim nekad untuk menghantar Bahari ke kampung untuk dipelihara oleh Haji Masto dan Hajah Tuminah. Dalam masa yang sama, Kalsom turut kesal kerana Bahari merupakan amanah Sara kepadanya. Bahari diambil sebagai anak angkat dan dipeliharanya sepenuh kasih dan sayang semenjak bayi lagi. Bahari merupakan zuriat Sara dengan Ahmad Ghaus yang amat bermakna lalu diserahkan tanggungjawab ini kepada Karim. Ke manakah menghilangnya Ahmad Ghaus hingga menyebabkan Bahari diamanahkan kepada Karim dan Kalsom?

Oleh sebab kesempitan ruang dan masa, Sara melahirkan Bahari tanpa pengetahuan Haji Masto dan Hajah Tuminah. Perihal Bahari yang sebenar hanya diketahui oleh Karim dan Kalsom. Lalu, untuk menghantar Bahari dalam jagaan Haji Masto dan Hajah Tuminah, perkara ini berat sekali untuk diputuskan. Haji Masto dan Hajah Tuminah pula beria-ia mahu menjaga Bahari. Kehilangan Sara menjadikan mereka seorang perindu sepi. Tiap-tiap hari mereka mengenangkan Sara yang hilang entah ke mana, membawa diri dan masih tidak mahu pulang menjenguk mereka yang semakin hari semakin berusia.

Bahari terus membesar dengan diberikan didikan paling baik. Kejayaannya dalam bidang akademik dan sukan amat membanggakan Haji Masto dan keluarga. Bahari seorang anak yang baik budi. Hubungan eratnya terhadap Hajah Tuminah teruji tiba-tiba. Panggilan telefon yang mengkhabarkan berita buruk kepada Bahari. Terkejut mendengarkan berita itu membuatkan Bahari merintih dalam hati. Baharu sahaja dia mendengar celoteh Hajah Tuminah menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading. Kini, Hajah Tuminah dikhabarkan sakit dan tenat.

Tahun demi tahun berlalu, Sara memendam rindunya dalam diam. Kenangan-kenangan bersama-sama keluarga datang menjelma tidak kira masa. Di hujung beranda sambil memandang suasana kota San Francisco, Sara sering melayan lamunan. Namun, semangatnya untuk kembali ke kampung tiba-tiba patah. Luluh hatinya membara dan membuak-buak rasa kecewa apabila memikirkan perlakuan ayahnya yang menghalau dia pada suatu ketika dahulu. Perasaan untuk tidak mahu pulang ke Malaysia juga tersimpan rapi dalam fikiran.

Atas kesabaran ujian yang dihadapi oleh Sara di negara asing, dia berjaya memiliki sebuah restoran. Sara menjadi seorang yang gigih bekerja. Tumpuan terhadap kerja-kerja pengurusan di restoran itu diberikan sepenuhnya. Segala aspek perniagaan dipelajari bersungguh-sungguh. Kehidupannya tiba-tiba berubah. Usaha giat Sara dalam menguruskan restorannya membuatkan hari-hari yang dilalui amat sibuk. Di sebalik kesibukannya ini, satu jaminan telah diberikan kepada Ahmad Alfred. Jaminan apakah yang diberikan hingga membuatkan Ahmad Alfred sentiasa berfikir tentang isteri tercintanya itu? Bagaimanakah berakhirnya episod rindu antara Haji Masto, Hajah Tuminah dan Sara? Berjayakah Sara dipujuk untuk pulang ke kampung? Dan, apakah akhirnya bagi sebuah rindu yang dicipta lalu dikisahkan dalam cabaran getir kehidupan Sara, Bahari dan lain-lainnya? Terleraikah sebuah rahsia di penghujung rindu sebuah ikatan kekeluargaan yang dicipta seindahnya ini?

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *