Padi Berbuah, Pagar Mereput

Oleh: Syuhada Salleh

6 April 2006 – Tuk Ki menyandarkan badan di dinding. Mak utih menghidangkan teh panas dan roti untuk sarapan pagi. Kinah, cucu yang berada berhampiran dengannya, sedang menjahit kain dan sesekali memandangnya. Dahi yang berkerut itu menambah lagi kedut seribu di wajah tuanya. Bibirnya kelihatan terkebil-kebil. Ada sesuatu yang mahu dikatakannya. Akhirnya, suara lelaki tua itu meluncur bergema. Kinah meletakkan kain yang dijahitnya dan memandang Tuk Ki. “Aku memang sudah tua, tapi waktu yang lama tak mampu merampas ingatan aku pada peristiwa itu. Tahun 1968.” Dia diam sedetik, tatkala peristiwa itu mula memecahkan tempurung fikirannya.

“Ada sebidang tanah milik arwah Nek Wan hasil pencarian bersama-sama aku dulu. Pada mulanya, Damak minta tanah kebun lima ekar milik aku dengan maknya yang terletak di Bukit Sirih supaya ditukar dengan tanah padinya. Tanah padi miliknya itu berada di kawasan perindustrian di bandar, luasnya tidak sampai satu ekar. Harga tanah di bandar memang lebih tinggi berbanding dengan tanah bukit. Apabila diminta begitu, kata Nek Wan kamu, ‘Tanah kebun lima ekar itu mak bahagi dua,dua ekar setengah milik ayah kamu.’ Maknanya, milik aku. ‘Dua ekar setengah lagi mak berikan kepada kamu (Damak). Maknanya, tanah kebun dua ekar setengah milik ayah ditukar dengan tanah padi kamu dan tanah dua ekar setengah lagi memang milik kamu (Damak). Mak menyerahkan tanah dua ekar setengah itu kepada kamu, tapi kamu janganlah mengganggu tanah Padang Tembak ini; tanah ini untuk adik-adik kamu.’ Tanah Padang Tembak itu luasnya tak sampai satu ekar pun. Perbincangan Damak dengan arwah Nek Wan kamu aku tak campur, cuma aku dengar sahaja.”

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta Disember 2011.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *