Azam dan Semangat Tahun Baharu

Dunia persuratan tanah air menerima hadiah menjelang tahun baharu apabila Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk melaksanakan penerbitan buku, terutama karya asli penulis muda dalam semua genre. Penyediaan peruntukan tersebut membuktikan bahawa kerajaan sedar akan kepentingan karya yang baik dan berkualiti tinggi dalam prakarsa menjanakan transformasi peradaban. Kehadiran Dato’ Sri Mohd. Najib Abdul Razak dalam majlis Sambutan Jubli Emas Persatuan Penulis Nasional turut menjadi manifestasi kesungguhan kerajaan dalam menggalakkan perkembangan industri perbukuan negara dalam usaha menerbitkan 28 ribu judul setahun.

Oleh itu, penulis muda harus mengambil peluang tersebut untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu tinggi yang mampu membina peradaban negara dan bukannya karya popular yang tidak memberikan apaapa sumbangan terhadap pembinaan nusa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya yang baik dan berkualiti tinggi sukar mendapat tempat dalam kalangan pembaca, apatah lagi pembeli. Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan oleh penulis, termasuk penulis muda, untuk tidak menghasilkan karya langsung, justeru menjadikannya sebagai cabaran yang harus didepani dengan bijaksana.

Maka, sewajarnya penyediaan peruntukan tersebut menjadikan penulis muda lebih berazam dan bersemangat untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu tinggi tatkala terbitnya fajar tahun baharu Masihi 2012. Azam Tunas Cipta pula tentulah menyiarkan karya penulis muda yang baik dan bermutu tinggi – sumbangan yang kecil tetapi tidak ternilai kepada dunia persuratan tanah air.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2012.

ARMIN AZHARI SALEH

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Januari 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *