Sungai Piandang

Oleh Fathul Khair Mohd. Dahlan

Seluruh buana dilanda hujan lebat  yang luar biasa. Sejak dinihari,  hujan tiada menampakkan tanda hendak berhenti. Daripada rebas,  menjadi renyai. Daripada renyai,  menjadi gerimis. Daripada gerimis,  menjadi lebat. Sejak minggu lepas,  langit sentiasa gelap. Awan hujan  sememangnya sarat berkepul-kepul menjulang ke langit.

“Macam mana ini? Hujan tak berhenti lagi,” adu Mak Nab. Mak Besah sibuk menggobek sirih. Apabila dirasainya sudah lumat, ditonggengkannya ke atas sekeping daun sirih. Kemudian digulung rapi seperti sepuntung rokok daun yang selalu dihisap oleh suaminya. Lalu dikunyah-kunyahnya sehingga menampakkan warna merah pekat pada giginya yang sudah menanti waktu gugur.

“Besah, aku sedang bercakap dengan engkau! Boleh pula engkau makan sirih. Dia tak tahu bahawa kita sedang risau.” Mak Nab menyiku lengan Mak Besah.

Mak Besah mengadu kesakitan. “Sakitlah, Nab! Kita dengarlah. Apa, engkau ingat kita tak risau?” ucap Mak Besah sambil menggosok-gosok lengan yang sakit.

Kerisauan mereka memukat perhatian Nek Jah yang sedang menganyam tikar mengkuang di serambi rumah buruk itu. Nek Jah, yang sudah mencecah satu abad usianya, masih berupaya melihat tanpa bantuan cermin mata.

“Apa yang nak dirisaukan, Nab, Besah? Biarlah hujan. Rahmat.” Nek Jah mencelah perbualan mereka. Demi mendengar suara Nek Jah, Mak Nab dan Mak Besah lekas-lekas berganjak ke serambi rumah.

“Yalah, kami risau empangan itu, Nek Jah,” Mak Nab meluahkan kerisauannya. Mak Besah Cuma mendengar. Sesekali tangannya mengelap mulut dengan tuala yang terselempang di pundak kiri.

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta Januari 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *