Puisi Tunas Cipta September 2011

Puisi Tradisional

Gurindam Pewaris Pemimpin Negara

Kalau kita menjaga kata-kata,
Kelak teman seribu walau di mana.

Kalau kita menjaga agama,
Maka sempurna, hidup bahagia.

Kalau kita menjaga bahasa,
Martabatlah negara dan bangsa.

Ruzaini Awang
Sandakan, Sabah

Sejambak Ilham

Serama

Begitu ayam ingin menjadi merak
tidakkan ayam berganjak ubah
sedarnya ayam tetaplah ayam akhirnya
kalaupun dicampak menjadi sabung serama.

Setelah berbutir bertih dimamahnya
begitu ayam tetap menjadi ayam
masakan menjadi merak hendaknya
semakin jauh kalau dianggap naga.

Muhammad Jailani Abu Talib

Pusara Bahasa

Adakah kita sedar sekarang
telah muncul sang pemerkosa
yang  sedang mengukir aksara kata
“ba ha alif sin mim lam alif ya wau”
pada batu nisan setelah dikuburkannya keranda 152.

Nurul Farhana Ahmad Sukre
Kodiang, Kedah

Dandelion

Selalunya kita bernaung
bawah terik mentari
ibarat butir-butir salju
pada pertengahan April
seperti tidak akan lebur
seperti jauh dari pupus.

Angin bersipongang lantang, “Jangan
hanya harapkan pagar, nanti
pagar mengabaikan
padi yang dicita-citakan.”

Mohd. Rasydan Fitri Mohd. Baharin
Birmingham, United Kingdom
23 April 2011

Petualang Bangsa

Kau!
Petualang terhormat
tabah menghina bahasa bangsa
hilang tabir malu, walau kau dilahirkan Melayu
kerana kau punya kuasa
bicara kau segera diterima
oleh segala manusia bebal,
yang semakin hilang punca.

Sedang kau ucap bangga
“Bahasa Melayu merendahkan strata kebijaksanaan bangsa!”
seorang tua di pondok sawah
yang tahu asal diri
yang kenal jati peribadi,
hampir rebah dimamah kecewa
setelah sepuluh anaknya
bergelar sarjana di universiti tertua.

Wardah Munirah
Fakulti Penulisan, ASWARA
7 Mac 2011

Pemuisi Jalanan

Aku pemuisi
pencatat apa saja
di atas dinding bangunan terbiar
mahu pun di atas dedaunan muram
meluahkan apa yang terdetik
ikhlas dari jiwa yang kudus
dengan harapan dimengertikan
oleh mereka yang sering
membutatulikan kemanusiaan.

Shafini Raisha
Rantau Panjang

Pelantar Hidup

Tampar mimpi yang singgah
buang jauh angan yang tak pernah sudah
realiti harus kau redah
resah yang kusut
luruskan dengan
akal yang betul.

Lorong yang kelam
suluhi dengan cahaya iman
pelantar hidup ini
begitu singkat
sebelum dijemput berangkat.

Nurul Afna Akma Zakaria
Damansara Damai

Sebiji Pauh dan Pendatang

Ingin sekali, kupetik
sebiji pauh
tumbuhnya di luar pagar
dahannya menjulai
memasuki laman luas, rumahku
biar masih berputik di ranting,
masamnya sudah sampai
ke halkum
liur ditelan perlahan
ingin mencecahi
waktu masam, apa lagi
mengenang waktu manis yang harum.

Muhammad Abdullah @ Ab Shatar
Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Terima
(Untuk Latiff Mohidin yang Sentiasa Dikagumi)

Kusambut mesra
catatanmu, tuan
huluran tanganmu tetap kental
selirat urat tua pujangga.

Kumudiki samudera kata
mendayungi pesanmu di tangan.
suria ikhlas di matamu
kugilap menerangi haluan.

Deru ombak kegagalan
kuranduk penuh sabar.

Al Ghazali Sulaiman

Tiung Kecil

Siang yang cerah
tiung kecil itu berperi indah
menghilang gundah.

Dalam sangkarnya
tiung kecil itu meluah rasa
yang disimpan sekian lama.

Khairunnisa Bohari

Di Simpang Empat

Ada
beburung terbang,
menghinggapi lalu
tiang listrik, dan
pohonan beranting-lengan lebar
yang meredupi jalanan
di simpang empat.


Entah kicau

atau percakapan petang,
tenggelam tiada endah
oleh jajaran kereta,
hon-hon pelampiasan nyah-sabar
pecutan garang motor,
anak-anak yang berlarian
pecah ketawa melintasi jalan.

Zuraidah Abdul Aziz

Desir Angin Sadis

Selaksa diksi aku muntahkan
menjadi sebaris puisi
untuk aku gitarkan bersama
riuh rintih angin sadis
dari ufuk berpenghuni tangis
menghadap pincang yang tragis.

S. Fatimah Said
Seri Manjung, Perak

Cinta Rahsia Kita

Di pojok ingatan pada suatu yang menyedihkan
aku sedar bahawa engkau selalu ada
kisahku masih menjadi rahsia
tersimpan kemas dalam kamus
cinta rahsia kita.

Nabiha Mohd. Mashut
Kota Tinggi, Joho

___

Puisi ini dipetik daripada Tunas Cipta September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

  • Share/Bookmark

One thought on “Puisi Tunas Cipta September 2011

  • April 30, 2013 at 1:09 pm
    Permalink

    soalan saya…

    bolehkah saya menghantar sajak di dalam talian? jika boleh bagaimana caranya?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *