Adab Penulisan dalam Media Sosial Baharu

Dalam kalangan penulis di negara ini, media sosial mula digunakan pada tahun 1990-an. Pada ketika itu, media sosial tersebut berbentuk surat berita. Hanya mereka yang berada tidak jauh daripada penulis tersebut yang dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengannya, sekali gus menerima surat berita itu.

Pada dekad itu juga, media sosial mula berkembang. Maka, muncullah beberapa bentuk media sosial baharu sebagai akibat kemajuan pesat sains dan teknologi. Oleh itu, timbullah media sosial yang dikenali sebagai laman web dan blog. Lebih banyak orang, baik yang jauh (misalnya di Abidja) mahupun yang dekat (seperti di sebelah rumah penulis di Ketior), dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan seseorang penulis melalui media sosial itu kerana kecanggihan sains dan teknologi.

Hari ini, dengan kemajuan sains dan teknologi, muncullah media sosial terkini yang disebut sebagai, antaranya, Facebook, Twitter dan Myspace. Dengan perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat, komunikasi dan interaksi dapat berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Dengan hanya telefon bimbit, penulis berupaya menghasilkan karya, termasuk novel, pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja, yang dapat dihantar terus kepada penerbit.

Kini dengan peralatan tertentu, sesiapa sahaja dapat memberikan sumbangan karya dan menikmatinya di alam maya. Yang harus dititikberatkan sekarang ialah etika penulisan dalam media sosial baharu yang terkini. Setiap penulis harus bertanggungjawab terhadap apa-apa yang ditulisnya di alam maya. Sekali-sekala kedengaran kes saman-menyaman sebagai akibat penulisan yang tidak bertanggungjawab kerana tidak dapat mengawal adab dan nafsu serta tidak mematuhi etika penulisan. Dunia penulisan tanah air, baik media tradisional mahupun media baharu, tidak memerlukan drama yang demikian.

-ARMIN AZHARI SALEH

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Februari 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *