Bermulanya dengan Pertandingan Menulis Esei

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Saya bukanlah individu yang petah berkata-kata, sebaliknya saya pendiam. Barangkali orang yang tidak mengenali saya dari dekat akan mengatakan bahawa saya sombong. Di sebalik sikap pendiam saya itu, saya lebih selesa menyalurkan segala kritikan, pendapat dan suara hati saya melalui penulisan. Penulisan itu dapat diibaratkan sebagai mewakili suara saya.

Tatkala saya diundang untuk menulis dalam ruangan Bicara Tunas, saya merasakan betapa saya ini masih kerdil jika hendak dibandingkan dengan penulis yang lain. Walau bagaimanapun, saya cuba memenuhinya dengan sebaik-baik mungkin. Sebelum ini, saya tidak pernah menulis dalam mana-mana media cetak tentang proses kreatif penulisan saya. Inilah kali pertama. Saya berharap agar segala yang dikongsi ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca.

Sebenarnya, saya terlibat dalam dunia penulisan kreatif secara tidak sengaja. Saya juga tidak terfikir bahawa saya akan pergi sejauh ini. Sewaktu tingkatan enam, saya dicabar oleh guru Bahasa Melayu untuk menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat negeri Kedah. Panjang eseinya 2000 patah perkataan. Saya menyahut cabaran itu tanpa diketahuinya sehinggalah setelah siap, saya menyerahkan esei itu kepadanya untuk diposkan. Selepas itu, saya tidak mengambil peduli lagi, sama ada penyertaan itu menang ataupun tidak.

Pada masa yang sama, sekolah saya mengadakan pertandingan menulis esei mengambil sempena Hari Kemerdekaan. Saya sekali lagi mencuba. Esei itu telah memenangi tempat pertama. Setelah itu, saya tidak lagi menyertai apa-apa pertandingan sehinggalah saya mendapat panggilan telefon daripada guru sekolah saya yang mengatakan bahawa saya telah memenangi hadiah sagu hati dalam pertandingan mengarang esei bersempena dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya. Pada ketika itu, perasaan gembira sukar digambarkan. Kemenangan itu telah melayakkan saya mendapat wang tunai sebanyak RM150 berserta hadiah iringan yang lain. Malangnya, kedua-dua esei tersebut tiada dalam simpanan saya.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Februari 2012.

  • Share/Bookmark

2 thoughts on “Bermulanya dengan Pertandingan Menulis Esei

  • April 18, 2012 at 4:16 am
    Permalink

    salam tuan,

    saya berminat untuk menulis seperti tuan, walaupun saya seperti tuan, insan kerdil yang tidak petah berkata-kata… ingin mengasah bakat penulisan yang tidak sepertinya tetapi tidak tahu di mana untuk menyalurkannya.. harap tuan dapat memberikan peluang salurannya…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *