Warkah Elektronik Milik Gadis Berstoking

OLEH ZUKI ZULKIFLI

Matahari sudah mula memancarkan haba dan cahaya. Cahaya mentari kurniaan Maha Pencipta meneruskan kerja tanpa ada sedikit kelewatan pun pada hari tersebut untuk memudahkan urusan sang manusia. Embun yang jatuh bertaburan semalam mula tersejat ke udara. Pokok mula berespirasi, mengimbangkan jumlah karbon dioksida dan oksigen di udara. Proses fotosintesis telah pun bermula sedetik yang lepas ketika sang suria bertemu dengan pasangannya, sang klorofil.

Nun jauh di sana, kelihatan beberapa orang mahasiswa Universiti Bela Bangsa sedang berjoging, melepaskan toksik yang beracun di dalam badan dan sekali gus meningkatkan keupayaan stamina. Inilah semangat belia yang wajar dicontohi. Bukannya berada di bawah lingkaran gebar yang empuk melayan mimpi yang mengasyikkan pada pagi hari kala ini.

Jumaat. Kuliah mahasiswa diteruskan seperti biasa. Cuma, jadualnya tidak padat berbanding dengan hari yang lain. Tidak ada lagi deretan manusia berjalan kaki, berlenggang-lenggok ke bilik kuliah dari kolej masing-masing. Tidak lagi kedengaran kebingitan yang dikeluarkan oleh enjin bas, sama ada bas milik Universiti Bela Bangsa ataupun perkhidmatan bas RapidKL. Yang kelihatan beberapa orang siswa berbaju Melayu yang telah bersiap sedia untuk menghadiri solat jumaat tengah hari nanti dan beberapa orang siswi yang berpakaian baju kurung sebagai mematuhi peraturan universiti yang menggalakkan pemakaian baju kurung pada hari tersebut.

Setelah solat subuh didirikan, aku kembali semula menyambung tidur yang tergendala seketika itu. Alih-alih, pukul 8.30 pagi aku bangun. Itu pun kerana dikejutkan oleh Zaidi, teman sebilikku. Masa yang singkat itu aku gunakan untuk mengemaskan diri. Untuk memenuhi ilmu di dada, ibuku selalu berpesan agar menyiapkan diri dengan sebaik-baiknya, termasuk kesegaran badan. Badan yang segar mampu membantu penyerapan maklumat yang bakal diluahkan oleh pendidik. Lagipun, menjaga personaliti diri itu penting. Lebih-lebih lagi apabila bergelar mahasiswa atau mahasiswi.

Sebagai mahasiswa Universiti Bela Bangsa jurusan sains komunikasi, tanggungjawab dan komitmen sememangnya dituntut. Tidak kira apa-apa bidang sekalipun, untuk berjaya, perhatian yang tinggi perlu dititikberatkan. Sudah tujuh semester aku berjuang di jalan Allah, menuntut ilmu jauh dari desa yang tercinta. Jauh daripada ibu yang tersayang dan juga adik yang dirindui selalu.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Februari 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *