Pelajari Sejarah Perluas Minda

KERIS MAS, sasterawan pertama di negara ini yang diangkat sebagai Sasterawan Negara. Menelusuri sejarah penglibatan Keris Mas dalam bidang penulisan amat mengagumkan. Maka, tidak hairanlah Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan atas dasar mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu mengabadikan nama Keris Mas pada salah sebuah kolej kediamannya, Kolej Keris Mas.

Namun, adakah penghuni kolej tersebut dan anak muda sekarang tahu tentang Keris Mas? Zaman mudanya penuh liku dan cabaran. Keris Mas terpaksa menangguhkan pengajian akibat Perang Dunia Kedua. Seperti anak muda lain yang berkobar-kobar mengejar cita-cita dan memenuhi impian keluarga, Keris Mas juga begitu; antara menjadi ustaz yang dihasratkan oleh orang tuanya dengan dunia penulisan yang dicita-citakannya.

Semangat Keris Mas untuk belajar dan menimba pengalaman pada usia muda terpancar melalui pengalaman prolifiknya dalam dunia kewartawanan dan penulisan semasa di Singapura. Keris Mas menyertai Utusan Melayu di Singapura dan kemudian berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara karya termasyhur Keris Mas termasuklah Patah Tumboh, Korban Kesucian, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, Rimba Harapan dan Memoir Keris Mas.

Tuntasnya, mengenali Keris Mas melalui pembacaan karyanya pasti memberikan suntikan semangat dan memperluas minda, lantas menerbitkan rasa tanggungjawab melahirkan karya yang dapat membina peradaban bangsa.

Salam perkenalan buat semua pembaca Tunas Cipta. Mulai keluaran ini, penulis akan menakhoda majalah “Sastera Generasi Baharu” ini. Semoga terus mendapat sokongan idea, cadangan, karya dan apa-apa sahaja yang dapat menyemarakkan lagi dunia penulisan dan kesusasteraan dalam kalangan penulis muda tanah air. Sekalung penghargaan kepada editor terdahulu, Ruslan Abdul Raffar dan Armin Azhari Saleh. Tunjuk ajar dan jasa kalian diharapkan dalam meneruskan legasi majalah unggul ini.

-ABDUL GHANI ABU

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Mac 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *