Penghijrahan Kehidupan ANJAN AHZANA

Oleh ANJAN AHZANA

Bertugas sebagai guru dan dilantik menjadi warden asrama bererti meletakkan sepenuh kehidupan menjadi milik kerajaan. Bekerja dan hidup di dalam kawasan berpagar sekolah yang komunitinya terdiri daripada rakan setugas terasa seperti semua tingkah laku, cara hidup dan gerak-geri diperhatikan. Hal ini memerlukan kecekalan untuk sentiasa berubah menjadi lebih sempurna. Itulah cabaran yang sukar dan sentiasa perlu diingati dan diutamakan.

Benar, guru biasa datang ke sekolah awal pagi dan pulang lewat petang. Dalam pengertian tugas guru merangkap warden, semuanya tidak terhenti setakat itu. Menjangkau hingga ke tengah malam apabila pintu bilik diketuk, ada sahaja tugasan perlu diselesaikan sama ada urusan sakit atau urusan lain.

Warden tidak boleh menangguhkan sehingga hari esok untuk pelajar menerima rawatan. Malang kepada guru, apabila media selalu tidak berpihak kepada guru jika terjadi sesuatu. Nantikan sahaja tajuk di dada akhbar pada esok hari, “Kecuaian Warden Menghantar Pelajar ke Hospital”.

Ruang kebebasan yang diperoleh semasa zaman pengajian di ibu kota, akhirnya menjadi lebih terkawal,teratur dan terbina hasil kesedaran sedikit demi sedikit. Hikmah takdir Pencipta tiada siapa yang tahu. Hari ke hari kerjaya sebagai guru dilalui berasa bertambah berat dan terbeban. Masa untuk berfikir, merenung, membaca, mengamati, dan bebas berekspresi menjadi terhad. Ditambah pula faktor berjauhan daripada rakan-rakan penulis dan berada dalam kelompok yang asing dengan puisi, terbitan baharu judul buku untuk dibincangkan, akhirnya melenyapkan keinginan dan ruang menulis secara perlahan-lahan.

Namun begitu penulis tidak mahu terus hanyut. Penulis bertekad memperbaik diri menjadi bertambah baik dalam berkarya dan memperbetul apa-apa yang dirasakan salah sebelum ini. Dalam tempoh tersebut penulis tetap menulis, namun sekadar catatan peristiwa.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Mac 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *