Menjadikan Cerita kepada Sastera

OLEH SM. ZAKIR

Sebahagian pendapat mengatakan bahawa karya sastera remaja perlu dibedah dengan teori kritikan bagi memberikan penulis remaja pendedahan kepada teori. Perkara utama yang perlu dilakukan adalah menyediakan ruang interaksi atau timbal balas, untuk membolehkan karya difahami kekuatan dan kelemahannya.

Ruang interaksi ini bukanlah ruang mengajar atau menghukum para penulis, tetapi lebih kepada perkongsian fikiran untuk melihat sudut yang boleh ditambah baik dan diperkemas. Selain itu, tahap sesebuah karya menentukan sama ada boleh dilihat daripada teori kritikan atau tidak. Jika karya masih berada pada tahap yang sederhana, maka itu lebih baik dilihat dengan pendekatan yang lebih mudah, iaitu melihat asas bangunnya sesebuah cerpen. Seperti membina rumah, penulisan cerpen harus bermula daripada pengetahuan yang asas. Asas penulisan cerpen merujuk struktur atau kerangka yang membangunkan cerita itu menjadi cerpen.

Menurut teori formalistik Rusia, cerita (fabula) hanyalah bahan mentah yang menunggu penyusunan tangan penulis; yang menjadikan cerita sebagai sastera ialah plot (sjuzet) yang disusun dan diolah dengan baik oleh penulis. Plot merupakan kerangka asas cerpen bersama-sama tema, watak, latar, perwatakan, teknik, sudut pandangan, dialog, monolog, naratif, motif dan estetika. Maka, empat asas utama cerpen ialah tema, plot, watak dan latar.

Cerita hanyalah bahan mentah sastera. Di tangan penulis cerita ditentukan sama ada menjadi baik, hebat ataupun buruk. Setiap orang mempunyai cerita, tetapi penulis yang baik dapat menjadikan cerita itu sebagai sastera. Dengan kata lain, cerita biasa menjadi cerita yang luar biasa. Sastera bangun daripada keluarbiasaan cerita yang biasa ini.

Apabila Shahnon Ahmad menulis novel Ranjau Sepanjang Jalan, beliau hanya mengambil cerita biasa tentang pesawah padi. Namun begitu, di tangan Shahnon cerita pesawah padi yang biasa ini menjadi luar biasa. Lahuma, Jeha dan Kampung Banggul Derdap menjadi cerita yang luar biasa. Maka itu, sastera terbangun daripada keluarbiasaan yang dicipta oleh Shahnon. Dalam teori formalistik lagi disebut “penganehan” (ostranenie, “menjadikan luar biasa”). Wordsworth menyebutnya sebagai “kejayaan  dan kesegaran mimpi”, memaksudkannya sebagai menghidupkan kesegaran persepsi terhadap perkara yang biasa dalam kehidupan sehari-hari. Empat cerpen yang dibicarakan kali ini dilihat dari sudut tahap keupayaannya menghadirkan cerita biasa menjadi luar biasa dalam membangunkannya sebagai hasil kesusasteraan.

___

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Mac 2012.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *